Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiahkan sebuah pager emas kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa pertemuan mereka di Rumah Putih minggu lalu, menurut pejabat perdana menteri Israel.
Hadiah tersebut melambangkan “titik perubahan dalam perang” menentang Hezbollah, ketika Israel melancarkan operasi maut terhadap kumpulan Lubnan itu menggunakan pager yang meletup pada September tahun lalu, kata pejabat perdana menteri.
“Operasi strategik ini mempamerkan kekuatan Israel, keunggulan teknologi dan kecerdikan dalam menghadapi musuhnya,” menurut kenyataan pada Khamis lalu.
Pada penghujung November 2024, Israel dan Hezbollah bersetuju mengadakan gencatan senjata, menamatkan lebih setahun permusuhan yang memuncak dengan kempen pengeboman hebat oleh Israel dan pencerobohan ke selatan Lubnan.
Namun begitu, tentera Israel masih beroperasi di beberapa bahagian negara jiran itu.
Israel mempunyai tempoh tiga bulan untuk melaksanakan gencatan senjata yang berakhir pada 26 Januari, namun tenteranya gagal memenuhi tarikh akhir untuk menyelesaikan pengunduran dari selatan Lubnan.
Israel menjelaskan bahawa mereka tidak berhasrat untuk memenuhi tarikh akhir tersebut, dengan alasan bahawa tentera Lubnan tidak menunaikan perjanjian mereka.
Israel juga terus melancarkan serangan udara di kawasan itu dan kini mempunyai tempoh sehingga 18 Februari untuk berundur sepenuhnya.
SUMBER: AFP