Idea bahawa Israel mempunyai hak “biblical” (janji yang ditulis dalam kitab Injil) ke atas Tebing Barat yang diduduki telah menjadi hujah kegemaran dalam kalangan tokoh politik tertentu.
Minggu lalu, Elise Stefanik, yang dicalonkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyebut semula dakwaan ini, dengan memberikan jawapan “ya” yang tegas apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pendapat pegawai Israel sayap kanan yang berkata seluruh Tebing Barat adalah warisan dan hak Israel yang terdapat dalam kitab suci mereka.
Tetapi ini bukan sekadar retorik politik. Naratif “hak biblical” berakar dalam Zionisme Kristian – satu sistem kepercayaan yang telah membentuk dasar luar AS serta pelanggaran hak asasi manusia Israel yang berleluasa terhadap rakyat Palestin.
Jadi, dari manakah datangnya idea ini, dan adakah ia mempunyai asas teologi yang kukuh? Mari kita rungkaikan.
Hak ‘biblical’? Tidak betul
Asas Zionisme Kristian adalah kepercayaan bahawa Israel mempunyai hak ilahi ke atas tanah tersebut dan ia tidak boleh dipersoalkan. Tetapi adakah dakwaan ini mempunyai asas teologi? Sebenarnya tidak.
Menurut para penyokongnya, janji suci yang diberikan kepada tokoh seperti Nabi Ibrahim (as) diterjemahkan secara langsung kepada tuntutan wilayah moden Israel. Ayat yang paling kerap dikutip berasal dari Perjanjian Lama, di mana Nabi Ibrahim (as) diberitahu: “Aku akan memberkati mereka yang memberkatimu, dan sesiapa yang mengutukmu, Aku akan mengutuk mereka.”
Ayat ini sering digunakan untuk berhujah bahawa Tuhan memberikan tanah Israel kepada keturunan Nabi Ibrahim (as) – yang bermaksud, Israel mempunyai “hak biblical” ke atas Tebing Barat.
Tetapi hakikatnya adalah: tafsiran ini hanya memilih ayat tertentu secara selektif.
Revd Dr Stephen Sizer, seorang pakar Zionisme Kristian, menegaskan bahawa janji dalam Kitab Genesis (sebahagian daripada kitab Taurat) itu dibuat khusus kepada Nabi Ibrahim (as), bukan kepada keturunannya untuk selama-lamanya, apatah lagi kepada sebuah negara moden.
“Tidak ada apa-apa dalam teks yang menunjukkan bahawa Tuhan berniat agar janji itu diterapkan dengan tanpa syarat atau selama-lamanya,” jelas Sizer.
Beliau memberitahu TRT World bahawa dakwaan ini tidak lebih daripada “satu percubaan lemah untuk membenarkan penjajahan dengan menggunakan kitab suci.”
Tanah Perjanjian Milik Siapa?
Sizer, seorang bekas vikar dan pengkritik lantang Zionisme Kristian, menulis secara meluas mengenai kecacatan teologi serta kesan politiknya.
Apabila ditanya sama ada “Tanah yang dijanjikan” diberikan secara eksklusif kepada orang Yahudi sebagai warisan kekal mereka, Sizer menjelaskan bahawa ahli kitab sebenarnya menolak idea pemilikan tanah tanpa syarat.
“Bertentangan dengan anggapan popular, Kitab Suci itu berulang kali menegaskan bahawa tanah itu milik Tuhan dan bahawa kediaman di dalamnya sentiasa bersyarat. ‘Tanah itu adalah milik-Ku dan kamu tinggal di tanah-Ku sebagai orang asing dan pendatang.’ (Imamat 25:23)”
Malah Nabi Ibrahim (as) sendiri, seperti yang digambarkan dalam kitab Ibrani, melihat “tanah yang dijanjikan” sebagai tempat persinggahan sementara, dan akhirnya menantikan kehidupan di dunia seterusnya, bukannya pemilikan kekal di bumi.
“Kediaman di tanah itu terbuka kepada semua umat Tuhan berdasarkan iman, bukan bangsa. Malah, penulis kitab Ibrani menjelaskan bahawa tanah itu bukanlah keinginan atau warisan utama mereka, tetapi hanya tempat persinggahan sementara sehingga kedatangan Nabi Isa (as). Warisan kekal mereka dan kita adalah selepas akhirat nanti, bukan duniawi,” jelas Sizer.
Di peringkat global, hujah mengenai “hak biblical” juga tidak mendapat sokongan.
Resolusi 242 PBB secara jelas menyeru Israel supaya berundur dari wilayah yang didudukinya dalam perang 1967, termasuk Tebing Barat. Penempatan yang dibina Israel di tanah ini melanggar undang-undang antarabangsa, menjadikan retorik “hak biblical” bukan sahaja cacat tetapi juga menyalahi undang-undang.
Zionisme Kristian
Zionisme Kristian bukan sekadar kepercayaan teologi yang abstrak – ia telah menjadi kuasa utama dalam membentuk dasar luar AS.
Sejak penubuhan Israel pada tahun 1948, Zionis Kristian memainkan peranan penting dalam melobi dasar yang menguntungkan Israel yang sentiasa mengorbankan rakyat Palestin. Akar Zionisme Kristian sudah jelas pada 1948 apabila Presiden AS Harry Truman menjadi pemimpin dunia pertama yang secara rasmi mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi, hanya 11 minit selepas ia ditubuhkan.
Berpindah ke era kepimpinan Trump, Zionisme Kristian sekali lagi berada di barisan hadapan.
Di bawah pentadbirannya, AS secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 2017 dan menyokong kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan pada tahun 2019 – tindakan yang secara langsung bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, kerana Baitulmaqdis telah ditetapkan oleh PBB sebagai wilayah Palestin yang diduduki, manakala Bukit Golan adalah tanah Syria di bawah pendudukan tentera Israel.
Tetapi ini bukan sekadar mengenai Trump. Zionisme Kristian mempunyai akar yang mendalam dalam politik AS, mempengaruhi kedua-dua Parti Demokrat dan Republikan.
Sebagai contoh, Mike Pompeo, bekas setiausaha negara AS, telah mempertahankan kawalan Israel ke atas wilayah Palestin selama berdekad dengan mendakwa bahawa Israel mempunyai tuntutan “biblical” terhadap tanah itu, sambil menolak idea bahawa Israel adalah kuasa penjajah.
”[Israel] bukan negara penjajah. Sebagai seorang Kristian evangelis, saya yakin dengan pemahaman saya terhadap kitab Injil bahawa selepas 3,000 tahun, walaupun ramai yang menafikannya, [tanah ini] adalah tanah air yang sah bagi rakyat Yahudi,” katanya.
Golongan Kristian evangelis telah terbukti sebagai antara penyokong paling teguh bagi negara Israel, malah boleh dikatakan lebih daripada mana-mana kumpulan lain.
Bekas Duta Besar Israel ke AS, Ron Dermer, juga pernah mengakui dinamik ini, menggesa Israel untuk memberi keutamaan kepada Kristian evangelis berbanding orang Yahudi Amerika dalam usaha diplomatiknya.
“Orang ramai perlu memahami bahawa tulang belakang sokongan terhadap Israel di Amerika Syarikat adalah Kristian evangelis,” katanya.
Zionisme Kristian sebahagian besarnya berakar daripada kepercayaan Kristian evangelis dan fundamentalis, yang melihat sokongan terhadap Israel sebagai mandat ilahi yang berkait dengan keinginan untuk merealisasikan ramalan hari kiamat.
Golongan evangelis berpendapat bahawa Kedatangan Kali Kedua Nabi Isa (as) bergantung kepada secepat mana sesuatu ramalan atau peristiwa tertentu dicapai, seperti kembalinya orang Yahudi ke “tanah yang dijanjikan” dan penubuhan negara Israel.
Naratif ini bukan sahaja merendahkan martabat rakyat Palestin tetapi juga menggambarkan mereka sebagai penghalang kepada ramalan tersebut daripada dicapai, menjadikan mereka seolah-olah “haiwan manusia” yang perlu dibersihkan secara keseluruhan.
Dalam kerangka berbahaya inilah Zionisme Kristian terus memungkinkan dan mewajarkan penindasan, keganasan sistemik dan pendudukan, serta mencipta justifikasi teologi dan politik yang menyebabkan jutaan manusia menderita.
Diam dalam Menghadapi Genosid
Apabila ahli politik bergantung kepada retorik yang direka, mereka membantu meneruskan penempatan haram, mengukuhkan penjajahan dan menyokong ketidakadilan yang sistemik.
Namun, di luar pembentukan dasar, ini berfungsi untuk tujuan yang lebih bahaya: membolehkan AS membersihkan imej genosid Israel dan keterlibatannya dalam pelanggaran ini.
Pengaruh Zionisme Kristian melangkaui politik AS dan menjalar ke gereja-gereja, terutamanya di seluruh Eropah.
Sizer berkata bahawa hubungan antara Gereja England dan kumpulan lobi pro-Israel sering menyebabkan ramai pemimpin Kristian membisu.
“Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat hubungan yang terlalu rapat dan telah lama wujud antara pemimpin Gereja England dengan Lembaga Timbalan Yahudi Britain, yang secara terbuka mengakui diri mereka sebagai kumpulan lobi pro-Israel,” kata Sizer.
“Malangnya, ramai pemimpin Kristian di AS dan Eropah hanya berdiam diri, bersikap tidak peduli dan enggan mengkritik Israel atas apa yang semakin diakui sebagai kempen pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” tambahnya.
Kebisuan mereka ini hanya memperkuatkan lagi penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin, membolehkan penjajahan dianggap sah dengan menggunakan alasan teologi.