Timur Tengah
2 min membaca
Hamas: Perbincangan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza bermula di Doha
Israel menghantar satu pasukan bagi rundingan seterusnya untuk gencatan senjata yang rapuh dengan Hamas, memberi isyarat petanda baik menjelang pertemuan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan Presiden AS Donald Trump.
Hamas: Perbincangan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza bermula di Doha
Peperangan kejam Israel di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 47,518 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan Palestin di wilayah yang dikepung itu. / Foto: Reuters
5 Februari 2025

Jurucakap Hamas mengumumkan bahawa perbincangan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza telah bermula, dengan menyatakan, “keutamaan kami adalah melindungi dan membantu rakyat kami, serta membangunkan semula Gaza.”

Dalam satu kenyataan di saluran Telegram rasminya pada Selasa, jurucakap kumpulan pejuang itu, Abdel Latif al-Qanoua, menuduh Israel “melewatkan pelaksanaan protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata dan melambatkan pelaksanaannya.”

“Perlindungan dan bantuan kemanusiaan adalah keutamaan mendesak yang tidak boleh dilambatkan oleh Israel,” tambahnya.

Israel berkata ia menghantar satu pasukan untuk merundingkan fasa seterusnya dalam gencatan senjata yang rapuh dengan Hamas, memberi isyarat baik menjelang pertemuan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa.

Netanyahu menjadi pemimpin asing pertama yang bertemu Trump di Rumah Putih sejak Trump kembali berkuasa bulan lalu. 

Selepas Trump mengambil kredit terhadap kejayaan gencatan senjata di wilayah bergolak itu, Netanyahu dijangka berdepan tekanan untuk menghormati perjanjian tersebut. 

Beberapa jam sebelum pertemuan mereka, pejabat Netanyahu berkata Israel akan menghantar satu delegasi ke ibu negara Qatar, Doha, pada hujung minggu ini untuk rundingan.

Rundingan dengan delegasi 

Hamas sebelum ini menyatakan bahawa ia bersedia untuk berunding fasa kedua gencatan senjata dimana Qatar, AS dan Mesir menjadi perantara, yang sepatutnya memberi tumpuan untuk menamatkan perang secara kekal.

Fasa pertama, yang berkuat kuasa pada 19 Januari, menamatkan pengeboman lebih 15 bulan yang telah memusnahkan sebahagian besar Gaza.

Selaras dengan perjanjian itu, Hamas dan Israel telah memulakan pertukaran tahanan yang ditahan di Gaza dengan tahanan yang berada di penjara Israel.

“Israel sedang bersiap sedia untuk delegasi berlepas ke Doha pada hujung minggu ini bagi membincangkan butiran teknikal berkaitan pelaksanaan berterusan perjanjian tersebut,” kata pejabat Netanyahu selepas pertemuan dengan penasihat Trump, termasuk utusan Timur Tengah, Steve Witkoff.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

Intai TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us