Bagaimana orang Badwi Islam hilang tanah akibat kempen ‘Yahudisasi’ Israel
Rencana
7 min membaca
Bagaimana orang Badwi Islam hilang tanah akibat kempen ‘Yahudisasi’ IsraelJumlah rumah yang dirobohkan di kawasan majoriti Muslim dalam Israel “meningkat tiga kali ganda” pada 2024, sekali gus mengasingkan komuniti Badwi ketika mereka berjuang untuk menyelamatkan cara hidup tradisional mereka.
Seramai 90,000 orang Badwi tinggal di 37 kampung ‘tidak diiktiraf’ di kawasan Negev, selatan Israel. Peta rasmi Israel tidak mengakui kewujudan mereka, walaupun kebanyakkan kampung ini telah wujud sebelum Undang-Undang Perancangan dan Pembinaan 1965 yang mengkategorikan mereka sebagai penduduk haram. / Foto: Reuters
11 Februari 2025

Bagi Eid Al-Ghanami, seorang rakyat Palestin-Israel berusia 50 tahun dari kawasan gurun Negev di selatan Israel, berbicara tentang rumahnya yang baru sahaja dirobohkan mengganggu emosinya.

Dia mengelak daripada memikirkan rumah empat bilik itu kerana ia membawa kenangan kepada tempat di mana dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya dan membesarkan 10 orang anaknya.

“Anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun sering bertanya kepada saya, ‘Bila ayah akan bina semula rumah yang kita pernah ada?’” katanya kepada TRT World.

Al-Ghanami ialah seorang warganegara Israel dari komuniti Badwi, suku pribumi dan separa nomad yang tinggal secara tetap di gurun Negev semasa Mandat British (1923-1948).

Walaupun mereka mempunyai kewarganegaraan, kebanyakan orang Badwi kehilangan tanah mereka dan menjadi pelarian dalaman dalam negara Israel yang baru diwujudkan - ketika Israel meneruskan usaha ‘Yahudisasi’ kawasan itu dengan membangunkan penempatan perumahan ‘sah’, resort dan kilang untuk orang Yahudi.

Israel mendakwa ia memiliki hak ke atas semua tanah yang dianggap sebagai sebahagian daripada negara Yahudi berdasarkan kitab sucinya dan menafikan hak pemilikan kepada orang Badwi, yang kebanyakannya beragama Islam.

Walaupun Tel Aviv telah mempergiat kempen perobohan rumah di kampung-kampung Badwi sejak beberapa tahun lalu, operasi tersebut telah memasuki dimensi baharu sejak bermulanya perang di Gaza.

Jumlah rumah yang dirobohkan di kawasan majoriti Muslim dalam Israel “meningkat tiga kali ganda” pada 2024, sementara negara Zionis itu melancarkan serangan udara ke atas Gaza, mengorbankan hampir 47,500 rakyat Palestin.

Pada masa yang sama, Israel terus merampas tanah di Tebing Barat yang diduduki dan Bukit Golan dengan membina penempatan Yahudi di wilayah Palestin dengan cepat.

Sebelum ini, pihak berkuasa Israel perlu mendapatkan kelulusan mahkamah bagi setiap perintah perobohan rumah Badwi di kawasan Negev - satu proses yang sering membawa kepada rayuan dan pendengaran kes, memberikan penduduk kampung peluang untuk menentang rampasan tanah mereka.

Namun, di bawah Undang-Undang Kaminitz yang digubal pada 2017, kerajaan itu kini kerap mengeluarkan perintah roboh tanpa melalui sistem kehakiman pada peringkat awal.

Apa yang paling menyedihkan bagi Al-Ghanami ialah hakikat bahawa dia sendiri terpaksa merobohkan rumahnya dalam tempoh yang singkat. Jika tidak, pihak berkuasa Israel akan membawa jentolak untuk meruntuhkan rumah tersebut dan kemudian mengenakan caj ribuan dolar ke atasnya bagi kos operasi itu.

Sejak Jun 2024, keluarganya tinggal di dalam khemah di atas tanah yang sama di kampung ‘tidak diiktiraf’ Umm Matnan, iaitu lokasi rumahnya yang telah dibina beberapa dekad.

“Pihak berkuasa Israel merancang untuk membina ladang bagi orang Yahudi di atas tanah kami. Saya masih menyimpan salinan peta yang menunjukkan rumah ayah saya pada 1980-an. Dia tinggal di sini, begitu juga dengan datuk saya, di atas tanah yang sama,” katanya.

Hari ini, kira-kira 325,000 rakyat Badwi yang menjadi warganegara Israel tinggal di Negev. Komuniti Badwi hidup dalam keadaan terasing daripada masyarakat Israel kerana mereka berjuang menentang penghapusan berterusan terhadap cara hidup tradisional mereka.

Dua daripada setiap tiga rakyat Badwi di Negev hidup dalam kemiskinan - iaitu tiga kali lebih tinggi daripada populasi umum Israel.

Untuk mereka, akses mendapatkan perkhidmatan kerajaan dan sistem keadilan adalah terhad kerana mereka menghadapi sekatan pergerakan, pemindahan secara paksa, perampasan tanah, penafian permit pembinaan dan ketiadaan penguatkuasaan undang-undang terhadap keganasan peneroka Yahudi, menurut Program Pembangunan PBB (UNDP).

‘Diiktiraf’ dan sebaliknya

Orang Badwi ketika ini tinggal dalam tiga jenis penempatan. Kira-kira 200,000 orang tinggal di tujuh kawasan perbandaran yang dibina kerajaan antara tahun 1969 dan 1989 khusus untuk memindahkan komuniti ini keluar dari tanah warisan mereka.

Sebanyak 35,000 lagi orang Badwi tinggal di 11 kampung yang telah ‘diiktiraf’ oleh kerajaan selepas 1999, susulan perjuangan undang-undang selama beberapa dekad oleh komuniti tersebut. Namun, penduduk di kampung yang kononnya diiktiraf ini masih berdepan risiko rumah mereka dirobohkan selain bergelut untuk mendapatkan permit pembinaan asas.

Sebilangan besar penduduk di beberapa kampung ‘diiktiraf’ ini masih hidup tanpa infrastruktur yang mencukupi seperti bekalan air minuman, elektrik, sistem pelupusan kumbahan dan jalan raya.

Namun, keadaan paling teruk dihadapi oleh kira-kira 90,000 orang Badwi yang tinggal di 37 kampung ‘tidak diiktiraf’ di Negev.

Peta rasmi Israel tidak mengakui kewujudan mereka, walaupun kebanyakkan kampung ini telah wujud lama sebelum Undang-Undang Perancangan dan Pembinaan 1965 dibuat yang mengkategorikan mereka sebagai penduduk haram.

Marwan Abu Frieh, seorang peguam organisasi hak asasi manusia, Adalah, yang berpusat di Haifa, memberitahu TRT World bahawa pihak berkuasa Israel telah merobohkan 3,280 rumah di kampung-kampung ‘tidak diiktiraf’.

“Saya rasa jumlah rumah yang dirobohkan pada 2024 akan melebihi 7,000.”

Peguam Adalah itu berkata hampir setiap hari dia menerima panggilan kecemasan daripada keluarga yang bimbang rumah mereka akan dirobohkan dalam masa terdekat.

“Mereka akan berkata, ‘Marwan, mereka telah membawa perintah roboh, mereka akan datang esok’,” katanya, sambil menambah bahawa dia hanya boleh cuba menangguhkan pelaksanaan perintah tersebut melalui undang-undang. Mendapatkan pembatalan perintah roboh adalah hampir mustahil, katanya. 

“Kesemua 90,000 orang Badwi ini mempunyai pasport Israel, kewarganegaraan Israel, tetapi tiada hak. Bangunan haram, rumah haram dan kampung haram. Lelaki haram, wanita haram dan manusia haram,” kata Frieh, yang mewakili 1,600 orang Badwi dari tiga kampung ‘tidak diiktiraf’ dalam mahkamah.

Pada 2011, Israel menubuhkan sebuah unit polis khas bernama Yoav untuk menghentikan pembinaan ‘tidak sah’ di kawasan penempatan Badwi di Negev. “Selama bertahun-tahun, kerajaan memberitahu orang Badwi, ‘Jika anda mahukan hak, anda perlu berpindah’.”

Selepas memilih rumah untuk dirobohkan, pegawai Yoav akan menghubungi pemiliknya dan mengarahkan sama ada meruntuhkan rumah itu sendiri atau menunggu pihak berkuasa membawa jentera berat untuk melakukannya.

Dalam kebanyakan kes, pemilik rumah akan memilih untuk merobohkan rumah mereka sendiri.

“Jika anda mengatakan bahawa anda akan meruntuhkan rumah anda sendiri, anda perlu menghantar gambar kepada mereka melalui WhatsApp. Jika tidak, mereka akan datang dengan polis dan jentolak, memberi anda 15 minit untuk mengambil barang dan merobohkan rumah tersebut. Dua minggu kemudian, mereka akan menghantar bil antara $10,000 hingga $20,000 kepada anda,” kata Frieh.

Kerajaan Israel mahu memberi ruang kepada penempatan Yahudi baharu di Negev dengan memaksa orang Badwi yang tinggal di 37 kampung ‘tidak diiktiraf’ itu untuk berpindah ke tujuh kawasan perbandaran dan 11 kampung ‘diiktiraf’, katanya.

Pihak Berkuasa Penyelesaian Badwi Israel juga berusaha memindahkan orang Badwi bagi memperluaskan kawasan latihan ketenteraan, memanjangkan Lebuhraya 6 - iaitu jalan utama utara-selatan Israel, menyediakan kemudahan ujian senjata dan membangunkan lombong fosfat.

“Orang Badwi hanya tahu satu perkara: untuk menyelamatkan tanah kami, kami perlu kekal, walaupun tanpa sebarang perkhidmatan, tanpa sebarang infrastruktur… kami akan kekal, kami akan membayar (harganya),” kata Frieh, yang juga berasal daripada komuniti yang sama yang diperjuangkannya sebagai peguam.

Cukup untuk semua

Hassan Al-Hwashleh, 40, seorang bapa kepada tiga orang anak dari kampung Badwi Ras Jrabah, berkata pihak berkuasa telah merobohkan rumah abang dan jirannya beberapa tahun lalu dan sejak itu mereka tidak dibenarkan untuk membina rumah baharu.

Pasukan rondaan sering memantau kawasan itu setiap hari bagi memastikan tiada pembinaan rumah baharu, sementara fotografi dari udara digunakan sekurang-kurangnya sekali sebulan bagi memastikan pematuhan terhadap dasar larangan pembinaan, katanya kepada TRT World.

“Kami tinggal di sini sejak sebelum negara Israel diwujudkan. Mereka membina bandar Dimona di atas tanah warisan kami,” katanya mengenai bandar Yahudi berdekatan yang akan diperluaskan dengan mengambil tanah kampung Badwi Ras Jrabah.

Tahun lalu, mahkamah menolak rayuan yang dikemukakan Adalah dan mengeluarkan perintah pemindahan paksa ke atas seluruh penduduk kampung yang berjumlah lebih 500 orang. Penduduk sepatutnya merobohkan rumah mereka sendiri dan berpindah ke kawasan perbandaran ‘diiktiraf’ Qasr Al-Sirr.

Hwashleh berkata datuk bandar Dimona mempunyai kuasa untuk membiarkan keluarganya terus tinggal di sana. “Datuk bandar itu sangat mengenali keluarga saya. Dia mengenali ayah saya, yang bekerja di bandar Dimona selama lebih 25 tahun. Tetapi dia tetap mengabaikan kami. Dia tahu dia sedang duduk di atas tanah kami.”

Beliau menegaskan bahawa dia tidak mahu berpindah ke bandar. Datuk bandar boleh membina kawasan kejiranan jika dia mahu dan membenarkan orang Badwi kekal di tanah mereka, katanya.

“Kami tidak keberatan berkongsi tanah. Ruang yang ada cukup untuk semua orang. Jadi mengapa mereka mahu mencabut akar kami?”

SUMBER: TRT WORLD

Intai TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us