Pegawai pengawal pantai dan perikanan dari Filipina, Amerika Syarikat, Vietnam dan Indonesia menjalani latihan bersama mengenai teknik menaiki kapal dan prosedur penahanan dalam satu sesi latihan penguatkuasaan undang-undang maritim yang diadakan di Kedutaan AS di Manila.
Latihan selama dua minggu di Pulau Mindanao, selatan Filipina itu yang bermula pada Isnin merupakan sebahagian daripada usaha serantau untuk meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang, ketika kebimbangan yang terus meningkat terhadap kemungkinan konflik maritim dengan China.
“Bersama-sama, kita menegaskan semula komitmen untuk memastikan kedaulatan maritim kita kekal sebagai zon keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk semua,” kata Komander Daerah Pengawal Pantai Filipina Rejard V. Marfe, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan AS.
Marfe menyifatkan latihan pada 13 hingga 24 Januari ini sebagai “amat bernilai dalam memastikan kita lebih bersedia menangani ancaman maritim,” walaupun kenyataan itu tidak menyebut secara langsung mengenai China.
Latihan ini meliputi prosedur menaiki kapal dengan selamat di laut, undang-undang maritim, pengumpulan dan pemeliharaan bukti, keselamatan dan pengurangan risiko, serta teknik penahanan, menurut kenyataan tersebut.
Pasukan Sempadan Australia turut serta dalam latihan ini sebagai pemerhati bersama pegawai pengawal pantai, penguat kuasa kastam dan pemantau perikanan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China mula memperluas kehadiran angkatan lautnya dalam usaha memperkukuh pengaruh di Pasifik dan mencabar pakatan yang dipimpin Amerika.
Sejak beberapa bulan lalu, China menghantar kapal tentera laut dan pengawal pantai bagi menghalang Filipina daripada memasuki terumbu dan pulau strategik di Laut China Selatan.
Pada Oktober, Vietnam menuduh Beijing melakukan serangan kejam, mendakwa 10 nelayan Vietnam dipukul dengan batang besi dan hasil tangkapan ikan mereka yang bernilai ribuan dolar turut dicuri.
Pada bulan yang sama, Indonesia melaporkan bahawa kapal Pengawal Pantai China telah dihalau keluar dari perairan yang dipertikaikan sebanyak tiga kali seminggu.
Namun, pada masa yang sama, China turut menegaskan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, dengan menyatakan bahawa ia adalah kepentingan bersama bagi negara di rantau ini, termasuk China dan Filipina.
SUMBER: REUTERS