Kanada dan Mexico mengumumkan langkah balas terhadap tarif yang dikenakan lebih awal ke atas barangan mereka oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata pada Sabtu bahawa Kanada akan mengenakan tarif 25% ke atas barangan AS bernilai $106.5 bilion sebagai tindak balas kepada tarif yang dikenakan AS.
Sebanyak $20 bilion akan berkuat kuasa mulai Selasa dan $86 bilion dalam tempoh 21 hari, kata Trudeau dalam satu sidang akhbar.
Trudeau memberi amaran bahawa tarif ini akan merugikan AS, yang merupakan sekutu lamanya.
Beliau menggalakkan rakyat Kanada untuk membeli produk buatan tempatan dan bercuti dalam negara daripada melancong ke AS.
Beliau juga berkata beberapa langkah bukan tarif, termasuk yang berkaitan dengan mineral kritikal, pemerolehan tenaga dan perkongsian lain, sedang dikaji.
Trudeau turut menambah bahawa Kanada dan Mexico bekerjasama untuk menghadapi tarif yang dikenakan ke atas barangan mereka oleh Washington.
Trump sebelum ini menandatangani perintah eksekutif yang mengenakan tarif 25% ke atas semua barangan dari Kanada dan Mexico bermula Selasa, kecuali produk tenaga dari Kanada yang akan dikenakan duti sebanyak 10 peratus.
‘Pelan B’ Mexico
Sementara itu, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum berkata beliau telah mengarahkan menteri ekonominya untuk melaksanakan langkah tarif dan bukan tarif bagi mempertahankan kepentingan negaranya.
Sheinbaum berkata pada Sabtu bahawa beliau telah mengarahkan menteri ekonominya “untuk melaksanakan Pelan B yang telah kami usahakan, yang merangkumi langkah-langkah tarif dan bukan tarif dalam mempertahankan kepentingan Mexico.”
Beliau juga membalas tuduhan Washington bahawa kerajaannya mempunyai “pakatan yang tidak boleh diterima” dengan kumpulan pengedaran dadah.
“Kami secara tegas menolak fitnah yang dibuat oleh Rumah Putih terhadap kerajaan Mexico mengenai pakatan dengan organisasi jenayah,” tulis Sheinbaum di platform media sosial X.
“Jika ada pakatan seperti itu di mana-mana, ia berada di kedai-kedai senjata AS yang menjual senjata berkuasa tinggi kepada kumpulan jenayah ini,” tambahnya.
“Jika kerajaan Amerika Syarikat dan agensinya mahu menangani masalah serius penggunaan fentanyl di negara mereka, mereka boleh memerangi penjualan dadah di jalan utama bandar mereka, yang mereka tidak lakukan, serta penggubahan wang yang dihasilkan daripada aktiviti haram ini yang telah memberi kesan buruk kepada rakyat mereka,” tambah Sheinbaum.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI