Korea Utara telah menjalankan ujian peluru berpandu jelajah strategik, lapor media rasmi KCNA.
Ia merupakan ujian peluru berpandu pertama oleh Pyongyang sejak kepulangan Donald Trump ke Rumah Putih.
“Keupayaan Angkatan Tentera DPRK (Korea Utara) menangkis peperangan bermakna ia semakin sempurna dengan lebih menyeluruh,” kata pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, pada Ahad, menurut KCNA.
Peluru berpandu jelajah strategik itu terbang sejauh 1,500 kilometer serta mengenai sasaran tanpa menjejaskan keselamatan negara jiran.
Kim menegaskan usaha berterusan untuk menyempurnakan keupayaan tentera rejimnya serta komitmen untuk memastikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan melalui ketenteraan yang lebih berkuasa.
Pelancaran ini menandakan ujian peluru berpandu ketiga Korea Utara pada 2025, selepas beberapa ujian peluru berpandu balistik jarak pendek ke Laut Timur pada 14 Januari dan peluru berpandu balistik hipersonik jarak sederhana pada 6 Januari.
Ujian ini dilakukan ketika Trump kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat dan menunjukkan keterbukaan untuk menghidupkan semula dialog dengan Pyongyang.
Trump dan Kim pernah bertemu tiga kali semasa penggal pertama Trump, termasuk dalam dua sidang kemuncak.
Kementerian Luar Korea Utara turut menyatakan bahawa Pyongyang perlu mengekalkan “tindakan balas paling tegas” terhadap AS selagi Washington menolak kedaulatan dan kepentingan keselamatan Korea Utara.
Kenyataan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap latihan udara bersama antara Korea Selatan dan AS, yang dikutuk oleh kementerian itu sebagai “cabaran besar” terhadap keamanan di Semenanjung Korea.
Ia memberi amaran bahawa latihan tersebut akan membawa kepada tindakan balas yang kuat bagi melindungi kedaulatan Korea Utara dan memastikan kestabilan serantau.
SUMBER: AA