Timur Tengah
5 min membaca
Bagi rakyat Palestin, gencatan senjata adalah pahit manis sementara dalam perjuangan untuk hidup
Gencatan senjata menawarkan Gaza kelegaan sementara, tetapi membina semula kehidupan, komuniti, dan harapan yang hancur memerlukan kecekalan, keazaman, dan sokongan global.
Bagi rakyat Palestin, gencatan senjata adalah pahit manis sementara dalam perjuangan untuk hidup
Warga Gaza pulang ke tanah mereka selepas gencatan senjata diumumkan.
26 Januari 2025

Apabila gencatan senjata di Gaza diumumkan pada hari Rabu, ia tidak disambut dengan sorakan kegembiraan seperti yang dijangkakan. Sebaliknya, ia disambut dengan kesunyian dan renungan, seolah-olah hanya seorang tukang tilik yang dapat meramalkan apa yang mungkin berlaku pada masa depan.

Bagi ramai orang, pengumuman itu membawa emosi bercampur-baur. Bagi sesetengahnya, ia adalah kelegaan sementara daripada perang yang telah berlangsung lebih setahun; bagi yang lain, ia adalah peringatan yang menyedihkan bahawa berakhirnya perang ini tidak semestinya permulaan kepada keamanan, tetapi sebaliknya kembali kepada kewujudan yang menyakitkan dan hancur berkecai.

Mereka yang pada awalnya melompat kegembiraan menangis beberapa saat kemudian, kenangan perang kembali membanjiri dan menyeret mereka ke alam duka. Yang lain tidak mampu menangis atau bersorak, tidak mampu mempercayai bahawa perang benar-benar telah berakhir. Mimpi ngeri yang tidak henti telah meninggalkan kesan pada mereka, satu noda yang tidak dapat dihapuskan oleh gencatan senjata.

Gencatan senjata adalah satu perkara mutlak untuk menghentikan pemusnahan warga Palestin yang telah menanggung penderitaan yang tidak dapat dibayangkan dalam perjuangan mereka untuk kebebasan.

Namun, perjalanan untuk memulihkan kehidupan di Gaza penuh dengan cabaran. Perang bukan sahaja menyebabkan kemusnahan fizikal, tetapi juga memutus ikatan sosial dan memecahbelahkan semangat kolektif rakyat.

Pemindahan paksa telah mengubah kawasan kejiranan yang dahulunya meriah menjadi kosong dan seram. Sekolah-sekolah yang dahulunya dipenuhi dengan gelak tawa kanak-kanak kini berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Hospital yang kehabisan keperluan adalah bukti perjuangan untuk menyelamatkan yang cedera. Hospital Al-Shifa,yang terbesar di Gaza, terletak dalam runtuhan bersama Hospital Kamal Adwan dan Al-Awda di utara. Sistem kesihatan awam yang dalam keadaan rapuh mengugat nyawa ribuan orang.

Kerapuhan keamanan

Menurut syarat gencatan senjata, pengeboman Gaza akan dihentikan hari ini.

Namun, luka psikologi masih segar. Kanak-kanak telah menyaksikan rumah dan kenangan mereka dimusnahkan di depan mata mereka, wanita kehilangan suami, dan anak muda yang impian mereka telah dirampas. Mereka berkeliaran dalam kawasan yang hancur musnah, dalam keadaan bingung dan hilang arah.

Bagaimana masyarakat akan timbul kembail dengan begitu banyak keperitan hidup?

Di Gaza, nyawa itu sendiri adalah satu bentuk penentangan. Tanpa berehat penduduk Gaza mula menyelamatkan apa yang tinggal dan membina semula kehidupan mereka. Sejauh mana mata memandang, kawasan perang tiada rumah, kilang, kedai dan sekolah, namun rakyat Gaza berpegang kepada harapan bahawa kehidupan boleh berterusan, walaupun dalam keadaan yang paling teruk.

Soalan-soalan sukar perlu dijawab: Bagaimana bandar ini akan dibina semula? Dari mana dana akan datang? Adakah bantuan antarabangsa akan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, atau akan hilang dalam birokrasi salah urus? Pengalaman lalu telah mengajar rakyat Palestin di Gaza bahawa pembinaan semula adalah perjalanan yang panjang dan sukar, penuh dengan kelewatan dan ketidakcekapan.

Jalan penuh kesukaran

Bagi mereka yang kehilangan orang tersayang, gencatan senjata tidak memberikan ketenangan. Sebaliknya, ia memberikan lebih banyak masa untuk merenung kesedihan mereka. Lebih daripada 46,000 nyawa telah hilang dalam perang ini, dengan lebih daripada 100,000 cedera.

Beribu-ribu masih terkubur di bawah runtuhan. Di kem sementara, wanita duduk dalam bulatan, berkongsi kenangan tentang mereka yang tidak akan kembali. Kanak-kanak bertanya soalan yang menyayat hati: “Di mana ayah saya?” atau “Adakah kita akan pulang?” Beban berat yang tiada ibu bapa dapat tanggung.

Namun, terdapat sinar semangat kecekalan. Ada yang masih mempunyai impian, mencari cara kreatif untuk membina semula dan menyokong mereka yang telah kehilangan segalanya. Petani yang telah melihat tanaman mereka musnah dan pemilik kilang yang telah kehilangan mata pencarian mereka sedang mencari cara untuk memulakan semula.

Namun, perjalanan ini penuh kesukaran dan memerlukan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada masyarakat antarabangsa.

Keperluan segera

Keutamaan segera adalah menyediakan tempat perlindungan untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal, terutamanya mereka yang kembali ke utara Gaza. Tempat perlindungan mudah alih dan khemah sangat diperlukan. Bantuan perubatan adalah kritikal, dengan puluhan ribu yang cedera masih menunggu rawatan.

Kemusnahan infrastruktur air dan kumbahan di Gaza mengancam krisis kesihatan yang meluas, terutamanya apabila lebih sejuta orang yang kehilangan tempat tinggal kembali ke utara. Pemulihan infrastruktur ini adalah penting untuk mencegah krisis lanjut dan menggalakkan penduduk Gaza untuk bina semula.

Pendidikan adalah satu lagi isu utama.

Sekolah telah ditutup selama dua tahun berturut-turut, dan beberapa sekolah yang masih berdiri telah rosak dan diduduki oleh keluarga yang kehilangan tempat tinggal. Penyelesaian sementara, seperti bilik darjah mudah alih, diperlukan untuk memulihkan sedikit normaliti bagi kanak-kanak Gaza yang telah mengalami trauma berpanjangan.

Setiap kanak-kanak di Gaza membawa parut genosida.

Luka psikologi mereka memerlukan usaha khusus daripada organisasi antarabangsa, termasuk terapi melalui seni, muzik, penceritaan, dan saluran kreatif lain. Tanpa ini, ramai kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran untuk kembali ke pendidikan formal atau masyarakat.

Perjalanan jauh

Memulihkan kehidupan di Gaza bukan sekadar soal pembinaan semula. Ia memerlukan visi menyeluruh yang menangani luka psikologi, sosial, dan ekonomi yang ditinggalkan oleh genosida yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Komuniti antarabangsa mesti menyediakan sokongan yang realistik dan mampan untuk memastikan rakyat Gaza dapat melakukan lebih daripada sekadar bertahan. Mereka memerlukan peluang untuk hidup. Rakyat Gaza telah membuktikan berkali-kali bahawa mereka mempunyai semangat waja. Tetapi ketahanan sahaja tidak mencukupi. Rumah, sekolah, dan komuniti mesti dibina semula.

Gencatan senjata mungkin menandakan berakhirnya pengeboman, tetapi jalan untuk menyembuh dan membina semula Gaza masih panjang dan sukar.

Walaupun di tengah-tengah kehancuran, rakyat Gaza sedang berusaha mencipta sesuatu yang baru: tempat yang boleh mereka panggil rumah sekali lagi, tempat di mana kanak-kanak boleh ketawa dan belajar, tempat di mana kehidupan boleh mekar semula. Gaza, seperti rakyatnya, akan mencari jalan untuk bertahan. Tetapi dunia mesti berdiri bersama mereka, bukan hanya dengan kata-kata manis dan sokongan tetapi dengan tindakan, untuk memastikan perjuangan mereka tidak sia-sia.

SUMBER: TRT World

Intai TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us