Pendakwa raya Korea Selatan telah mendakwa Presiden yang dipecat, Yoon Suk Yeol, atas tuduhan pemberontakan berhubung pelaksanaan darurat tentera yang singkat, satu pertuduhan jenayah yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Ini merupakan tamparan hebat buat Yoon, yang telah dipecat dan ditangkap berhubung pengisytiharan darurat tentera pada 3 Disember yang mencetuskan polemik politik, mengganggu pasaran kewangan negara dan merosakkan imejnya di peringkat antarabangsa.
Mahkamah Perlembagaan kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk memecat Yoon sebagai presiden secara rasmi atau mengembalikan jawatan tersebut kepadanya.
Yoon menjadi presiden pertama Korea Selatan yang didakwa semasa masih memegang jawatan.
Beliau akan terus ditahan dan akan dibawa dari pusat tahanan ke mahkamah di Seoul untuk menghadiri perbicaraan yang dijangka berlangsung selama enam bulan.
Pasukan pembelaan Yoon mengesahkan pendakwaannya atas tuduhan pemberontakan, sambil menyifatkannya sebagai “keputusan terburuk” oleh pendakwa raya yang didakwa cuba mengampu pemimpin politik yang mahu Yoon berundur.
“Pendakwaan terhadap presiden hari ini akan kekal sebagai satu keaiban dalam sejarah pendakwa raya Korea Selatan yang tidak dapat mereka padamkan,” kata pasukan pembelaan Yoon dalam satu kenyataan.
“Kami sekali lagi menegaskan bahawa pengisytiharan darurat tentera oleh seorang presiden tidak boleh dianggap sebagai pemberontakan,” tambahnya.
Pendakwa raya mendakwa Yoon pada Ahad atas tuduhan mengarahkan pemberontakan ketika beliau mengenakan darurat tentera, menurut laporan media tempatan. Usaha mendapatkan komen oleh pejabat pendakwa raya di Seoul tidak beroleh jawapan.
Pihak berkuasa penyiasatan mendakwa bahawa pelaksanaan darurat tentera oleh Yoon bersamaan dengan pemberontakan kerana beliau didakwa mengatur rusuhan dengan tujuan melemahkan perlembagaan.
Yoon mempunyai imuniti presiden daripada kebanyakan pendakwaan jenayah, tetapi keistimewaan itu tidak meliputi tuduhan pemberontakan atau pengkhianatan.
Mengikut undang-undang Korea Selatan, pemimpin yang didakwa atas pemberontakan boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Darurat tentera tertama sejak puluhan tahun
Yoon, seorang pemimpin konservatif, dengan tegas menafikan sebarang salah laku, dan menyatakan bahawa pengisytiharan darurat tenteranya adalah tindakan pemerintahan yang sah bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh Dewan Negara yang dikuasai golongan liberal, yang menghalang agendanya dan memecat pegawai tertinggi kerajaan.
Semasa pengumuman darurat tentera, Yoon menyifatkan dewan tersebut sebagai “sarang penjenayah” dan berikrar untuk menghapuskan “pengikut Korea Utara yang tidak tahu malu serta pasukan anti-negara.”
Selepas mengisytiharkan darurat tentera pada 3 Disember, Yoon menghantar tentera dan pegawai polis ke dewan perundangan, namun masih terdapat cukup ahli parlimen yang berjaya memasuki dewan dan sebulat suara membatalkan pengisytiharan oleh Yoon, sekaligus memaksa Kabinetnya untuk menarik balik perintah tersebut.
Pelaksanaan darurat tentera, yang pertama seumpamanya di Korea Selatan dalam lebih empat dekad, hanya berkuatkuasa selama enam jam.
Namun, ia cukup untuk membangkitkan kenangan pahit tentang pemerintahan diktator pada 1960-an hingga 1980-an di Korea Selatan, apabila pemimpin yang disokong tentera menggunakan undang-undang darurat dan kecemasan untuk menindas pihak lawan.
Pakar pertikai darurat tentera oleh Yoon sebagai tidak wajar
Perlembagaan Korea Selatan memberi kuasa kepada presiden untuk mengisytiharkan darurat tentera bagi mengekalkan ketenteraman semasa perang atau keadaan kecemasan.
Namun, ramai pakar berpendapat bahawa negara itu tidak berada dalam keadaan sedemikian ketika Yoon mengisytiharkan darurat tentera.
Yoon menegaskan bahawa beliau tidak berniat mengganggu kerja dewan perundangan, termasuk pengundian terhadap pengisytiharannya, dan bahawa penghantaran tentera serta pasukan polis bertujuan mengekalkan ketertiban.
Namun, komander unit tentera yang dihantar ke dewan perundangan memberitahu dewan atau penyiasat bahawa Yoon mengarahkan mereka untuk mengheret keluar ahli parlimen bagi menghalang mereka daripada membatalkan pengisytiharan daruratnya.
Siasatan terhadap Yoon memburukkan lagi perpecahan dalaman negara yang sudah pun serius, dengan penunjuk perasaan dari pihak yang bersaing kerap mengadakan demonstrasi di pusat bandar Seoul.
Selepas mahkamah tempatan meluluskan waran tangkap rasmi pada 19 Januari untuk melanjutkan tempoh penahanan Yoon, puluhan penyokongnya menyerbu bangunan mahkamah, merosakkan tingkap, pintu dan harta benda lain. Mereka turut menyerang pegawai polis dengan batu bata, paip besi dan objek lain.
Keganasan itu menyebabkan 17 pegawai polis cedera dan pihak polis menyatakan bahawa mereka telah menahan 46 penunjuk perasaan.
Yoon sebelum ini menentang usaha pihak berkuasa penyiasatan untuk menyoal siasat atau menahannya. Namun, beliau akhirnya ditangkap pada 15 Januari dalam satu operasi penguatkuasaan undang-undang di kompleks presiden.
Siasatan terhadap Yoon diketuai Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Tertinggi (CIO), tetapi sejak ditahan, Yoon enggan menghadiri sesi soal siasat oleh CIO, dengan alasan bahawa agensi itu tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menyiasat tuduhan pemberontakan.
Namun, CIO menegaskan bahawa mereka boleh menyiasat dakwaan pemberontakan terhadap Yoon kerana ia berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa serta tuduhan lain yang disyaki dilakukan olehnya.
CIO kemudiannya menyerahkan kes Yoon kepada pejabat pendakwa raya Seoul pada Jumaat lalu dan meminta agar beliau didakwa atas tuduhan pemberontakan, penyalahgunaan kuasa dan menghalang Dewan Negara.
Namun, menurut laporan, pendakwa raya hanya mendakwa Yoon atas pemberontakan, memandangkan beliau mempunyai imuniti sebagai presiden terhadap tuduhan lain.
Menteri Pertahanan, Ketua Polis dan beberapa komander tentera Yoon telah pun ditangkap atas tuduhan pemberontakan, penyalahgunaan kuasa serta dakwaan lain yang berkaitan dengan pengisytiharan darurat tentera.
Jika Mahkamah Perlembagaan memutuskan untuk menyingkirkan Yoon daripada jawatan presiden, pilihan raya kebangsaan bagi memilih penggantinya perlu diadakan dalam tempoh dua bulan.
Tinjauan pendapat awam terbaharu menunjukkan calon daripada parti pemerintah dan pembangkang dalam persaingan sengit dalam perlumbaan pilihan raya presiden yang mungkin akan diadakan.
SUMBER: AP