Pengasas ByteDance, Zhang Yiming, merupakan individu terkaya di China dengan kekayaan peribadi sebanyak $49.3 bilion, menurut senarai tahunan, sementara rakan seindustri dalam sektor hartanah dan tenaga boleh diperbaharui kurang bernasib baik.
Zhang, 41, yang terkenal di peringkat antarabangsa melalui platform media sosial Tiktok telah meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ByteDance.
Pada tahun 2021, dia menjadi individu ke-18 yang dinobatkan sebagai orang terkaya di China dalam tempoh 26 tahun sejak Senarai Orang Kaya Hurun China pertama kali diterbitkan.
Beliau mengatasi pengeluar botol air Zhong Shanshan, yang jatuh ke tempat kedua apabila kekayaannya susut sebanyak 24% kepada $47.9 bilion.
Walaupun berdepan pertikaian undang-undang mengenai asetnya di Amerika Syarikat, pendapatan global ByteDance meningkat sebanyak 30% pada 2023 kepada $110 bilion, menurut Hurun, sekaligus melonjakkan kekayaan peribadi Zhang.
Tempat ketiga dalam senarai itu ialah pengasas Tencent, Pony Ma, manakala Colin Huang, pengasas PDD Holdings jatuh ke tempat keempat daripada tempat ketiga pada 2023, walaupun platform e-dagang berdiskaunnya, Pinduoduo dan Temu, terus menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang sihat.
Jumlah bilionair dalam senarai itu menurun sebanyak 142 kepada 753, menyusut lebih satu pertiga daripada puncaknya pada tahun 2021.
“Ekonomi dan pasaran saham China menghadapi tahun yang sukar,” kata Pengerusi Laporan Hurun, Rupert Hoogewerf.
Sektor hartanah merosot
Kejatuhan kekayaan paling ketara adalah dari sektor hartanah China, tambahnya, manakala sektor elektronik pengguna terus meningkat, dengan pengasas Xiaomi, Lei Jun, menambah $5 bilion kepada kekayaannya pada 2024.
“Pengeluar panel solar, bateri litium dan EV menghadapi tahun yang mencabar apabila persaingan semakin sengit, menyebabkan lebihan bekalan, manakala ancaman tarif menambah ketidakpastian,” kata Hoogewerf, yang juga merupakan ketua penyelidik senarai itu.
“Pengeluar panel solar menyaksikan kekayaan mereka merosot sebanyak 80% berbanding tahun 2021, manakala pengeluar bateri dan EV masing-masing turun sebanyak separuh dan satu perempat.”