Saya seorang pelajar dan aktivis yang menentang genosid – semua genosid – tanpa mengira nama pelaku atau mangsa.
Pada masa lalu, fokus saya terhadap genosid timbul kerana keperluan. Negara kelahiran saya, Myanmar – dimana saya sanggup korbankan nyawa demi kebebasannya daripada pemerintahan tentera – kini sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kekejaman besar-besaran yang dianjurkan oleh negara dan disokong oleh rakyat terhadap orang Rohingya yang majoritinya beragama Islam telah didokumentasikan dengan rapi dan dianggap melanggar Konvensyen mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.
Saya telah membebaskan diri daripada patriotisme Pavlovian yang menyatakan "negara saya betul atau salah": genosid adalah garis merah mutlak bagi saya.
Oleh itu, ulang tahun ke-80 pembebasan Auschwitz oleh Tentera Merah Soviet pada tahun 1945 bulan lalu sememangnya menarik minat saya, sama seperti acara memperingati genosid lain, sama ada untuk Srebrenica, Rwanda, Rohingya, atau Kemboja.
Namun, saya rasa mual apabila mendengar kata-kata Tova Friedman, seorang warga Amerika berketurunan Yahudi yang dilahirkan di Poland dan terselamat dari Auschwitz-Birkenau, kem maut Nazi terbesar, ketika berusia lima setengah tahun.
Sebuah klip video lima minit dalam majalah Time menampilkan ucapannya kepada sekumpulan mangsa yang terselamat dan beberapa puluh ketua negara Eropah – termasuk Raja Charles III dari UK, Perdana Menteri Poland Donald Tusk, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Volodymyr Zelenskyy dari Ukraine, dan utusan khas Timur Tengah Donald Trump, Steve Witkoff.
Kini berusia 85 tahun dan dipenuhi kebijaksanaan usia, Friedman berkongsi kenangan mengerikan tentang anjing pengawal Jerman dengan gigi taring yang tajam, tentang tahanan wanita yang bogel, dan asap hitam yang keluar dari cerobong empat krematorium di kem yang luas itu.
Dia bercakap tentang gadis-gadis berusia enam atau tujuh tahun – ada yang tidak berkasut dan kebanyakannya kurus akibat "kelaparan" – berbaris sambil menggigil dan menangis di laluan bersalji menuju ke bilik gas.
Dari Auschwitz ke Gaza
Ketika saya mendengar ucapan Friedman dengan rasa kaku. Saya berkata kepada diri sendiri, 'Bagaimana mungkin ada manusia yang mendengar kisah ngeri ini dan tidak merasakan kesakitan yang amat sangat serta belas kasihan yang tulus untuk mangsa-mangsa genosid Nazi?'
Dalam semua lawatan saya ke Muzium Auschwitz-Birkenau, saya telah mendengar kisah-kisah yang sama ngeri daripada pemandu pelancong Poland saya.
Dalam salah satu lawatan itu, semasa berjalan melalui barak wanita – di mana tahanan yang dianggap terlalu uzur dan tidak mampu menjadi buruh paksa untuk projek bersama SS dan syarikat Jerman dibiarkan mati begitu sahaja – saya menyentuh lantai katil kayu tiga tingkat. Kelihatan lapisan debu yang jelas ditapak tangan, seolah-olah tangan empati saya akan menyentuh jiwa mereka yang telah hilang.
Saya tidak tanya sama ada mereka Yahudi, Roma, Sinti, atau pejuang partisan Poland.
Malangnya, obsesi hanya dengan status mangsa dalam kalangan bangsanya sendiri – bangsa Yahudi – tidak ada langsung tanda-tanda belas kasihan terhadap mangsa-mangsa lain dalam ucapan Friedman: bukan sahaja genosid Nazi tetapi semua genosid pasca-Holocaust, dan khususnya, genosid yang dilakukan oleh Israel terhadap 2.3 juta rakyat Palestin.
Daripada bercakap tentang kengerian genosid Nazi yang dialaminya secara langsung, Friedman tiba-tiba bertukar topik dan memberitahu penonton yang penuh emosi tentang semangat berani yang ditemuinya di Auschwitz.
Dia kemudian meneruskan untuk mengulangi garis propaganda Israel yang sudah lapuk dan usang, mengaitkan penciptaan Israel dan Holocaust: "Dendam kami adalah membina negara Yahudi yang kuat. Israel adalah satu-satunya demokrasi di Timur Tengah ... berjuang untuk kelangsungan hidupnya.”
Saya mendengar klip itu berulang kali untuk memahami kata-katanya dan memastikan bahawa saya, seorang penentang genosid yang menyokong hak rakyat Palestin untuk hidup dan membesarkan keluarga mereka dalam keamanan, tidak membaca apa-apa yang tidak dia maksudkan atau sampaikan dalam ucapan peringatannya.
Tetapi dua perkataan yang terlintas di fikiran hanyalah Kafkaesque dan Orwellian.
Mesej yang disampaikannya dari podium di hadapan pintu masuk Muzium Auschwitz-Birkenau – dan di hadapan prop trek kereta api, bangunan pentadbiran SS Nazi dan kereta lembu – melambangkan delusi yang sedang dipersembahkan oleh Israel.
Delusi itu dibingkai dan diluahkan sebagai perjuangan berterusan menentang "ancaman eksistensial" dunia yang sekali lagi dibanjiri dengan ketakutan dan kebencian terhadap orang Yahudi.
Untuk semua tujuan praktikal, ia adalah usaha yang lemah oleh Friedman untuk menggambarkan 15 bulan genosid dan 57 tahun pendudukan haram Palestin yang diiktiraf oleh PBB sebagai "pertahanan diri".
Sebenarnya, Zionisme politik sebagai projek penjajahan peneroka telah dirancang di kalangan orang Yahudi Eropah Timur pada awal tahun 1880-an. Itu adalah lima dekad sebelum Nazi berkuasa pada tahun 1933, dan 60 tahun sebelum bilik gas pertama Auschwitz mula beroperasi dengan tawanan perang Soviet sebagai mangsa pertamanya.
Hanya beberapa minggu yang lalu di Bethlehem, ahli teologi dan aktivis Palestin yang terkenal, Rev. Munther Isaac, memberitahu kami – sekumpulan pengkaji dan penulis genosid yang melawat dari Jepun, Korea Selatan, Kanada, AS, UK dan Myanmar – yang saya pimpin, “Israel adalah koloni peneroka yang dibina di atas tanah dengan penduduk asli. Koloni peneroka, secara definisi, memerlukan pembersihan etnik.”
Dia mendedahkan sifat secara semula jadi peluasan kuasa negara Israel, dengan menunjukkan bagaimana ia masih merampas tanah di Syria dan selatan Lubnan melalui perang pilihan.
Kejahatan yang norma
Ini membawa saya kepada tabu besar yang telah dihindari oleh mana-mana individu yang berperasaan untuk elak dilabel sebagai "antisemit".
Iaitu, mencabar pengagungan "mangsa terselamat" Yahudi seolah-olah mereka adalah tokoh suci yang mempunyai autoriti moral terhadap kekejaman besar-besaran dan kekejaman manusia berskala industri yang terancang, khususnya Israel dan apartid yang diinstitusikan, kekejaman sadis dan jenayah antarabangsa terhadap orang Arab asli.
Saya mempunyai ingatan fotografik tentang Auschwitz-Birkenau.
Kira-kira 150 meter dari podium tempat Friedman memberi ucapan televisyen adalah barak SS di mana doktor-doktor Nazi membunuh kanak-kanak tahanan dengan menyuntik fenol ke dalam badan mereka.
Dia bercakap tentang kebuluran sebagai dasar SS, tentang kanak-kanak yang ditandakan untuk bilik gas dan badan mereka yang "mengecut".
Namun begitu, Friedman memilih untuk tidak menyebut pemimpin-pemimpin negara Yahudi itu yang secara terbuka mengisytiharkan niat negara untuk membiarkan 2.3 juta rakyat Palestin di penjara terbuka Gaza mati kebuluran dan membunuh 17,000 kanak-kanak Palestin sebagai sub-kategori sasaran populasi mangsa.
Dia juga tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan tentang negara angkatnya, AS, yang memberikan Israel "sokongan penuh" dalam projeknya untuk memusnahkan rakyat Palestin – seperti yang dinyatakan oleh akademik terkenal Yahudi-Israel Lee Mordechai dari Universiti Ibrani dalam dialognya dengan delegasi antarabangsa kami ke Palestin tiga minggu lalu.
Friedman jelas mampu mengenal pasti dan menyatakan "vakum moral" Barat dan Eropah, yang membawa kepada penindasan terhadap orang Yahudi Eropah yang diduduki Nazi pada tahun 1930-an dan '40-an.
Namun begitu, dia berpaling tadah apabila Israel yang kononnya 'demokratik' memusnahkan kebanyakan Gaza dalam 15 bulan yang lalu, disubsidi oleh wang pembayar cukai.
Dia nampaknya berkongsi pandangan pemimpin Israel bahawa jeritan dan protes di seluruh dunia terhadap jenayah mereka di Palestin adalah satu ungkapan "antisemitisme yang berleluasa", satu manifestasi global prejudis, kecurigaan dan ekstremisme terhadap orang Yahudi.
Pada tahun 1995, Muzium Peringatan Holocaust AS di Washington DC menemubual mendiang Louis Walinsky, bekas presiden Kongres Yahudi Sedunia, yang bertanggungjawab terhadap program latihan vokasional untuk ribuan penyintas Yahudi di Jerman dan Austria pada tahun 1947-48.
Dalam wawancara itu, Walinsky berkongsi satu penggambaran yang "menyusahkan" tentang para mereka yang terselamat dari kem Nazi – bahawa mereka "bukan orang yang terbaik". Iaitu, bukan golongan yang paling beretika dan bermoral.
Berlandaskan seorang yang bekerja rapat dengannya dalam menjalankan program latihan ini, Walinsky berkata, "Tetapi anda tahu apa yang dia (Jacob Olaseky) pernah beritahu saya sekali, bukan? Ia sangat menyedihkan."
Dia berkata, "Louie, orang-orang terbaik di kem (Nazi) tidak selamat." Kami yang terselamat bukanlah orang-orang yang terbaik. Kau tahu apa yang dia maksudkan? Orang-orang yang mencuri catuan makanan orang lain; yang berjaya hidup dengan mengorbankan orang lain. Mereka yang baik hati, yang lembut, yang baik - semua terkorban. Dia merasakan ini dengan sangat, sangat kuat.”
Berasal dari keturunan Yahudi Rusia, Louis dilahirkan di London pada tahun 1908, dan, pada usia empat tahun, berhijrah ke New York bersama bapanya yang merupakan seorang revolusioner anarkis, belajar ekonomi di Universiti Cornell, dan mengajar sebagai seorang guru di Brooklyn, New York.
Semasa Perang Dunia Kedua, Louis berkhidmat di Lembaga Pengeluaran Perang AS dan kemudiannya dihantar ke Jerman sebagai pengarah yang bertanggungjawab ke atas program latihan vokasional untuk "orang yang dipindahkan (bangsa Yahudi) atau DP" di bahagian AS Jerman yang diduduki pihak Bersekutu - di Munich - pada tahun 1947.
Dia terlibat secara mendalam dalam mengangkut ribuan pelarian Yahudi yang terlatih secara vokasional dan mesin ke Palestin sebelum dan selepas penubuhan negara Israel pada Mei 1948.
Saya mengenalinya sebagai seorang sahabat yang sangat dikasihi yang saya panggil dengan penuh kasih sayang 'Uncle Lou'. Dia mengetuai majlis perkahwinan saya di Washington DC, memainkan peranan sebagai bapa angkat saya, dan membantu saya dalam setiap cara yang dia mampu dalam aktivisme Free Burma saya.
Saya tahu dia akan bangkit dari kubur kerana peningkatan moral yang tidak wajar terhadap kaum yang “terselamat” ini yang terus memberitahu dunia tentang pembohongan Zionis mereka dengan mengorbankan rakyat Palestin.
Penyair kebangsaan Palestin yang telah meninggal dunia, Mahmoud Darwish, menyebut orang Yahudi Israel sebagai "mangsa yang menang" – orang yang setelah berada dalam kedudukan kekuatan, kuasa dan kekayaan, secara sedar membiarkan diri mereka berubah menjadi pelaku genosid.
Seperti yang diceritakan oleh Pak Cik Lou, "bukan orang yang terbaik".