Chatbot kecerdasan buatan (AI) syarikat China DeepSeek telah melonjak ke puncak carta muat turun Apple Store, mengejutkan penggiat industri dan penganalisis dengan kemampuannya untuk bersaing dengan pesaing AS.
Program ini telah menggegar industri teknologi dan memberi kesan kepada gergasi AS termasuk Nvidia dan Meta yang telah membelanjakan sejumlah besar wang untuk mendahului dalam sektor AI yang berkembang pesat.
DeepSeek dibangunkan oleh sebuah syarikat permulaan yang berpangkalan di bandar Hangzhou di timur China, yang terkenal dengan kepadatan tinggi firma teknologi.
Tersedia sebagai aplikasi atau di desktop, DeepSeek boleh melakukan banyak perkara yang dilakukan oleh pesaingnya dari Barat, menulis lirik lagu, membantu merangka pelan pembangunan peribadi, dan juga menulis resipi makan malam berdasarkan apa yang ada di dalam peti sejuk.
Ia boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, walaupun ia memberitahu AFP bahawa ia paling fasih bahasa Inggeris dan Cina.
Ia juga ada batasan sepertimana yang dilihat dalam chatbot buatan China yang lain, Ernie Bot dari Baidu dimana jika bertanya tentang pemimpin Xi Jinping atau dasar Beijing di wilayah barat Xinjiang, ia akan meminta untuk "bercakap tentang perkara lain".
Tetapi dari menulis kod yang kompleks hingga menyelesaikan jumlah yang sukar, orang dalam industri terkejut dengan kemampuan DeepSeek yang setanding dengan persaing.
"Apa yang kami dapati DeepSeek adalah yang paling berprestasi tinggi, atau hampir setaraf dengan model-model terbaik Amerika," kata Alexandr Wang, CEO Scale AI, kepada CNBC.
Ini agak mengejutkan memandangkan apa yang diketahui tentang cara ia dicipta.
Kelebihan kritikal
Dalam sebuah kertas kerja yang memperincikan pembangunannya, firma itu menyatakan model tersebut dilatih menggunakan hanya sebahagian kecil daripada cip yang digunakan oleh pesaing Baratnya.
Penganalisis telah lama berfikir bahawa kelebihan kritikal Amerika Syarikat berbanding China dalam menghasilkan cip berkuasa tinggi dan keupayaannya untuk menghalang kuasa Asia daripada mengakses teknologi tersebut akan memberikannya kelebihan dalam perlumbaan AI.
Tetapi DeepSeek berkata mereka hanya membelanjakan $5.6 juta untuk membangunkan model mereka berbanding dengan berbilion-bilion yang dibelanjakan oleh teknologi gergasi AS untuk AI.
Saham syarikat teknologi utama di AS dan Jepun telah merosot apabila industri menilai cabaran daripada DeepSeek.
Gergasi pembuatan cip Nvidia, pembekal dominan dunia bagi perkakasan dan perisian AI, ditutup lebih tiga peratus rendah di Wall Street pada hari Jumaat.
Venture capitalist Marc Andreessen, penasihat rapat kepada Trump, menggambarkannya sebagai "detik Sputnik AI" merujuk kepada pelancaran satelit Soviet yang mencetuskan perlumbaan angkasa pada Perang Dingin.
"DeepSeek R1 adalah salah satu penemuan yang paling menakjubkan dan mengagumkan yang pernah saya lihat," tulisnya di X.
Saingan Lembah Silikon
Seperti pesaing Baratnya iaitu Chat-GPT, Llama milik Meta, dan Claude, DeepSeek menggunakan model bahasa besar (large-language model, LLM) dengan kuantiti teks yang besar untuk melatih penggunaan bahasa harian mereka.
Namun, tidak seperti pesaing dari Lembah Silikon yang telah membangunkan LLM proprietari, DeepSeek adalah sumber terbuka (open source), bermakna sesiapa sahaja boleh mengakses kod aplikasi tersebut, melihat cara ia berfungsi, dan mengubah suainya sendiri.
Kepimpinan Beijing telah berikrar untuk menjadi peneraju global dalam teknologi AI menjelang 2030 dan dijangka akan membelanjakan puluhan bilion untuk menyokong industri ini dalam beberapa tahun akan datang.
Kejayaan DeepSeek mencadangkan bahawa syarikat-syarikat China mungkin telah mula melangkaui halangan yang diletakkan di hadapan mereka.
SUMBER: AFP