Palestin
6 min membaca
Dua Kanak-Kanak Sehari | Storyteller
Secara purata, tentera Israel menangkap, menyoal siasat, membicarakan dan kemudian memenjarakan dua kanak-kanak Palestin setiap hari. Filem ini mendokumentasikan penindasan Israel terhadap masyarakat Palestin melalui keganasan terhadap kanak-kanak.
Dua Kanak-Kanak Sehari | Storyteller
Dua Kanak-Kanak Sehari. / Foto: AFP
2 Februari 2025

Temu Bual Bersama David Wachsmann, Pengarah “Two Kids a Day”

Subjek ini penuh emosi dan kompleks. Bagaimana anda mendekati gaya visual dan naratif filem untuk menyeimbangkan penceritaan dengan advokasi?

Filem ini penuh emosi atas beberapa sebab, dan yang utama adalah kerana ia berkisarkan tentang kanak-kanak. Ideanya adalah untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan bahan yang diperolehi dari bilik soal siasat. Walaupun empat kanak-kanak Palestin dari kem pelarian Aida di Tebing Barat menjadi perhatian dalam filem ini, saya juga merasakan penting untuk menampilkan sisi Israel - sisi penjajah yang ganas dimana saya merupakan salah seorang rakyat negara itu. Disebabkan itu, saya rasa penting untuk menemu bual pegawai, tentera, pegawai keselamatan dan seorang peguam tentera.

Saya menemu bual kanak-kanak Palestin dan individu yang berada dalam sistem Israel menggunakan latar belakang neutral untuk memberikan penekanan kepada apa yang mereka katakan. Pada masa yang sama, saya mahu penonton melihat adegan dalam bilik soal siasat tanpa mengalihkan pandangan mereka. Terdapat perincian dalam adegan ini yang kadangkala hanya disedari selepas ditonton kali kedua atau ketiga. Ada kaitan antara apa yang dikatakan pihak Israel yang ditemubual dengan apa yang berlaku dalam bilik soal siasat serta realiti kehidupan di Tebing Barat setiap hari. 

Bagaimana anda mendapat akses kepada keluarga, kanak-kanak dan institusi yang terlibat? Bagaimana anda dapat pastikan fakta yang dipaparkan dalam filem ini?

Ia adalah satu perjalanan yang sangat panjang yang melibatkan pencarian kanak-kanak di Tebing Barat. Penerbit bersama Palestin, Muhammad Babai, mencari kanak-kanak yang muncul dalam rakaman bilik soal siasat selama berbulan. Muhammad mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kepercayaan kanak-kanak dan keluarga mereka, dan selepas itu, saya mula masukkan gambar dan secara perlahan membina kepercayaan di antara kami.

Penting untuk dinyatakan bahawa kebanyakan kanak-kanak Palestin di kem pelarian dan kampung di Tebing Barat hanya “bertemu” dengan tentera yang memasuki rumah mereka, menangkap mereka secara ganas dan menembak mereka di demonstrasi serta pos kawalan tentera. Atau mereka bertemu dengan penjajah Israel yang datang di bawah perlindungan tentera dengan tujuan mencederakan mereka dan mengusir mereka dari tanah mereka sendiri. Inilah orang Israel yang mereka temui setiap hari, yang malangnya mewakili sebahagian besar masyarakat Israel. Oleh itu, saya memahami kesukaran untuk membina kepercayaan apabila seorang pengarah Israel datang dan ingin membuat filem mengenai kisah mereka. Ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan masa, dan ini memang masuk akal.

Bagi pihak Israel yang ditemu bual, kami memilih mereka dengan teliti kerana saya tidak mahu mereka menjadi sekadar individu yang “menyesal selepas bertindak”, tetapi mereka yang masih percaya dengan tindakan mereka dan tetap mempertahan keputusan mereka sehingga ke hari ini. Kami telah merakam temu bual dengan beberapa individu sepanjang tahun, namun ada yang tidak dimasukkan dalam filem ini.

Sepanjang bertahun-tahun, kami telah bertemu dengan puluhan, jika tidak ratusan, kanak-kanak di seluruh Tebing Barat dalam penyelidikan untuk filem ini. Kami tahu kami tidak akan dapat memasukkan kisah semua orang, tetapi sebahagian daripada alasan untuk bertemu mereka adalah untuk menyemak maklumat dan mengesahkan kisah mereka. 

Kami mendengar cerita yang sama berulang kali—daripada kanak-kanak lain di kawasan berbeza di Tebing Barat yang telah ditangkap, disoal siasat dan dipenjara untuk tempoh yang lama. Kanak-kanak yang menceritakan tentang keganasan dan penghinaan semasa tangkapan, penahanan dan soal siasat. Pelanggaran hak paling asas yang dimiliki kanak-kanak di bawah perjanjian antarabangsa. 

Dan sudah tentu, semua orang mengulangi fakta bahawa sebahagian daripada kaedah ini adalah untuk memaksa kanak-kanak mengaku bersalah terhadap rakan-rakan mereka, seperti yang dapat anda lihat dalam bilik soal siasat dalam filem ini.

Filem ini menangani isu sistemik yang besar terhadap kanak-kanak Palestin. Adakah anda menghadapi halangan atau tentangan daripada pihak berkuasa atau institusi semasa membuat filem ini?

Apabila filem ini dikeluarkan, Menteri Kebudayaan Miki Zohar melancarkan serangan keras terhadap filem ini untuk menghentikan pengedarannya. Menteri itu menuntut agar kami memulangkan dana kerajaan yang kami terima untuk filem ini. Serangannya adalah usaha serius untuk membisukan dan menyembunyikan daripada mata masyarakat Israel dan dunia tentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat. Tindakannya mendorong lebih ramai penonton dalam dan luar negara untuk menonton filem ini kerana mereka ingin memahami apa yang cuba disembunyikan Menteri Kebudayaan Israel daripada mereka.

Apakah jenis tindak balas atau tindakan yang anda harapkan daripada penonton yang menonton filem ini?

Saya harus berkata dengan jujur bahawa saya menghasilkan filem ini terutama sekali untuk penonton Israel. Dengan harapan bahawa mereka dapat melihat kanak-kanak Palestin dan memahami bahawa kekejaman ini dilakukan atas nama kami semua setiap hari.

Matlamat utama dalam penghasilan filem ini adalah untuk meletakkan isu penangkapan kanak-kanak Palestin dalam agenda awam. Sangat sedikit orang yang menyedari isu ini di Israel dan di seluruh dunia. Malangnya, selepas 7 Oktober, hanya segelintir orang Israel yang bersedia untuk mendengar dan menerima bahawa ada rakyat Palestin yang telah hidup di bawah penindasan selama berdekad. Dan bahawa kita sebagai masyarakat bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku hanya sejam perjalanan dari rumah kita.

Hari ini, elemen penting dalam mencipta perubahan dan meningkatkan kesedaran adalah melalui penonton antarabangsa yang menonton filem ini. Penonton yang berbicara mengenai penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin dan pembunuhan beramai-ramai, serta keluar untuk berdemonstrasi dan menyatakan pendirian yang jelas menentang tindakan Israel.

Sebagai seorang pembikin filem, adakah projek ini mengubah anda? Dan bagaimana?

Filem ini mengukuhkan pemahaman saya bahawa, malangnya, sebagai seorang pembikin filem dan sebagai seorang individu, saya tidak mempunyai ruang yang cukup untuk mmepunyai pandangan yang saya pegang dalam masyarakat Israel hari ini. Kesedihan saya terhadap kanak-kanak dan orang awam Palestin di Gaza dan Tebing Barat semakin mendalam.

Sebagai seorang warganegara Israel, saya merasa tanggungjawab yang besar. Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan atas nama kami akan kekal di tangan dan hati nurani kami selamanya. Dan tiada apa yang dapat memadamkan kejahatan dan kekejaman ini dari sejarah manusia.

Sekurang-kurangnya apa yang saya boleh lakukan untuk menentang penindasan ini adalah dengan berjuang dan menyatakan pendirian yang jelas melalui filem-filem yang saya hasilkan dengan harapan ia akan sampai kepada orang ramai.

Adakah ada apa-apa yang anda ingin tambah?

Saya hanya boleh berharap bahawa filem ini akan terus bergema di hati penonton walaupun Gaza dan Palestin lambat laun akan hilang dari tajuk utama berita dunia, sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Saya benar-benar berharap filem ini akan menginspirasi orang ramai untuk belajar lebih lanjut dan menentang ketidakadilan yang dahsyat yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin selama berdekad.

Storyteller disiarkan setiap Ahad pada jam 1800 GMT. Tonton siaran langsung: http://trt.world/ytlive

SUMBER: TRT WORLD

Intai TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us