Apple melancarkan kemas kini perisian pada Khamis lalu yang menghentikan penghasilan tajuk berita dan ringkasan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) selepas dikritik kerana menghasilkan fakta yang salah.
Langkah yang diambil gergasi teknologi itu berlaku ketika ia sedang meningkatkan barisan peranti terbaharunya dengan “Apple Intelligence” di pasaran yang mahukan jaminan bahawa pembuat iPhone ini merupakan pesaing dalam perlumbaan AI.
Keputusan Apple untuk menghentikan sementara ciri AI yang baru dilancarkan ini dibuat setelah BBC dan organisasi berita lain membuat aduan bahawa pengguna menerima tajuk berita atau ringkasan berita yang salah.
Apple kemudiannya mengeluarkan kemas kini kepada pembangun yang bekerja dengan versi beta perisian mereka, sekaligus mengetepikan ciri AI untuk tajuk berita.
Gergasi teknologi itu merancang untuk memulihkan ciri tersebut apabila ia berfungsi dengan baik dan seterusnya melancarkannya kepada semua pengguna.
Pada Jun tahun lalu, Apple memperkenalkan iPhone baharu yang dibina dengan generatif AI sebagai usaha untuk meningkatkan jualan dan menunjukkan ia bersaing dalam perlumbaan teknologi.
‘Apple Intelligence’
Syarikat itu banyak bergantung kepada iPhone 16 baharu dan berharap pelanggan tertarik untuk membeli model terbaharu itu kerana keupayaan AI.
“Kami rasa teruja untuk memperkenalkan iPhone pertama yang direka dari asas untuk Apple Intelligence dan keupayaan inovatifnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook di ibu pejabat syarikat pembuat iPhone itu di Silicon Valley.
“Apple Intelligence” adalah satu rangkaian ciri perisian baharu untuk semua peranti yang diumumkan pada persidangan pembangun tahunan syarikat itu, di mana mereka turut mengumumkan kerjasama dengan pembuat ChatGPT, OpenAI.
Dalam jangka masa pendek, ciri baharu ini termasuk penyuntingan gambar berasaskan AI, terjemahan dan sentuhan kreatif kecil dalam mesej tanpa inovasi yang dijanjikan oleh pemain AI lain, seperti OpenAI atau Google.
Ciri-ciri ini serupa dengan alat yang baru ini dikeluarkan Meta, Microsoft dan Google, yang dapat menghasilkan kandungan yang direka dengan baik hanya dengan pertanyaan.
Tahun lalu, Google melancarkan telefon pintar Pixel 9 berasaskan AI yang memberi cabaran kepada iPhone.
Telefon Pixel hanya mewakili sebahagian kecil daripada pasaran telefon pintar global yang dikuasai oleh Samsung dan Apple, tetapi Google berkata barisan baharunya adalah peluang untuk menunjukkan apa yang sebenarnya boleh dilakukan oleh AI untuk pelanggan.
Samsung turut mempamerkan AI dalam barisan produknya dan dijangka memperkenalkan telefon pintar Galaxy flagship baharu pada minggu depan di Silicon Valley.