Singapura telah meluluskan undang-undang yang memberikan kuasa kepada pihak polis untuk mengambil alih kawalan akaun bank seseorang jika terdapat bukti bahawa individu itu sedang ditipu scammer.
Undang-undang itu yang diluluskan awal bulan ini dipercayai merupakan pertama seumpamanya di dunia.
Ia membenarkan pihak polis dan pegawai jabatan hal ehwal komersial — agensi penyiasatan jenayah kolar putih — untuk menghentikan transaksi bank jika terdapat bukti kukuh bahawa pemegang akaun akan memindahkan wang kepada scammer, walaupun secara sukarela.
Individu yang diberi perintah sekatan akan menghadapi penggantungan akaun bank, akses ATM dan kemudahan kredit mereka, tetapi masih boleh mengeluarkan wang untuk perbelanjaan harian, menurut undang-undang tersebut.
“Tujuannya adalah untuk memberi lebih masa kepada polis untuk berhubung dan meyakinkan individu tersebut bahawa dia sedang ditipu, termasuk dengan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga,” kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling, kepada parlimen.
Beliau berkata, “Perintah sekatan hanya akan dikeluarkan sebagai langkah terakhir jika semua usaha lain untuk meyakinkan individu tersebut gagal.”
Perintah itu mempunyai had masa 30 hari yang boleh diperbaharui maksimum lima kali.
Sun memberi contoh khusus seperti mangsa warga emas atau mangsa cinta palsu, merujuk kepada kes seorang wanita berusia 64 tahun sehingga kehilangan Sg$400,000 kerana ditipu seseorang yang menyamar sebagai kekasihnya.
Undang-undang unik
Langkah sedia ada tidak mencukupi, katanya, kerana “pemindahan yang dilakukan sendiri” menyumbang kepada 86% daripada semua laporan penipuan dan 94% kerugian dari Januari hingga September tahun lalu.
“Saya tidak pasti jika negara lain mempunyai undang-undang serupa,” kata penganalisis politik Eugene Tan.
“Ini adalah undang-undang unik yang direka khusus untuk keadaan di Singapura.”
“Ia mungkin juga satu manifestasi kepada imej Singapura sebagai negara ‘pengasuh’,” tambah Tan, seorang profesor madya undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura.
Ahli Parlimen pembangkang Jamus Lim dari Parti Pekerja menyuarakan kebimbangan tentang bagaimana undang-undang ini “mewakili pencerobohan yang signifikan ke dalam transaksi peribadi,” tetapi menyokong rang undang-undang tersebut.
Sun memberitahu ahli parlimen bahawa “situasi penipuan terus menjadi kebimbangan besar,” dengan memetik data awal yang menunjukkan kes penipuan meningkat sebanyak 10% pada 2024 berbanding 2023, dengan kerugian meningkat sebanyak 40%.
Kementerian Dalam Negeri berkata pada November bahawa jumlah kerugian akibat penipuan scam adalah sebanyak Sg$650 juta ($476 juta) pada 2023.
Tan menambah bahawa walaupun undang-undang itu kelihatan mengganggu, kerajaan melihat penipuan sebagai “ancaman sosial yang membebankan masyarakat dan keluarga mangsa.”
Masalah penipuan “hampir menjadi krisis, jika belum sampai ke tahap itu lagi,” katanya.