Fuad Chiragov
Dengan pentadbiran Biden dan agenda global yang ditenggelami krisis, termasuklah peperangan di Timur Tengah dan Ukraine, cabaran geopolitik di rantau lain seperti Selatan Kaukasus terlah terlepas pandang.
Pada minggu pertama bulan Oktober, Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev memberi amaran tegas kepada Armenia dan dunia barat terhadap usaha mereka untuk mempersenjatai Yerevan pada saat yang kritikal pada waktu ini.
Aliyev berucap pada bekas orang pelarian dalaman atau internally displaced people (IDP) di bandar baru Jabrail yang pernah dimusnahkan sepenuhnya semasa penjajahan Armenia dan telah dimerdekakan pada tahun 2020.
Semasa acara berlangsung, Presiden Aliyev mempersoal motif negara-negara barat mempersenjatai Armenia dan mengajukan soalan sama ada mereka percaya bahawa Azerbaijan tidak akan mengambil sebarang tindakan dan hanya akan tunggu sehingga bangunan-bangunan baru yang telah dibina akan dimusnahkan sekali lagi oleh senjata-senjata tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa Azerbaijan akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan dan pembangunan masa depan Azerbaijan. “Mereka cakap tentang keamanan dan hanya menipu; di sudut yang lain pula, mereka terlibat dalam persenjataan skala besaran,” ujar Aliyev.
Pada awal bulan September, seorang penolong kepada Presiden Aliyev telah mencadangkan bahawa larangan yang setimpal harus dikenakan kepada tentera Armenia, sepertimana yang telah dikenakan kepada Iraq selepas perang Iraq-Kuwait.
Beliau menerangkan bahawa langkah tersebut adalah berasas kerana Armenia adalah salah satu negara daripada sekelompok kecil yang cuba merampas kawasan negara jiran dengan kekerasan selepas Perang Dunia Ke-Dua.
Kenyataan sebegini serta kenyataan yang sama dari pegawai-pegawai Azerbaijan bercanggah dengan optimisme berwaspada untuk keamanan sepertimana yang dinyatakan oleh Azerbaijan dan Armenia baru-baru ini.
Walaubagaimanapun, kenyataan sepertimana di atas harus dipandang dengan lebih serius.
Prospek yang agak rapuh untuk perjanjian perdamaian mendapat ancaman dari perundingan yang bergerak dengan perlahan serta ketenteraan yang masih dijalankan oleh Armenia. Media Azerbaijan telah melaporkan bahawa terdapat penghantaran kerap kepada Armenia, dan ramai pakar-pakar Azerbaijan mempercayai bahawa Armenia dengan sengaja melambatkan perundingan agar mereka boleh melaksanakan program kenteraan dan revancisme yang mungkin akan berlaku.
Terdapat percanggahan yang lain juga. Armenia mendakwa bahawa bajet tentera Azerbaijan telah mencecah 14-15 peratus daripada GDP mereka, namun Yerevan juga telah menaikkan perbelanjaan ketenteraan mereka kepada 46 peratus dibandingkan dari tahun lepas, dan ini terbukti bahawa Armenia tengah mengambil langkah ketenteraan.
Walaupun lanskap global mengalami kerumitan, Armenia tetap berjaya memperolehi senjata dari pelbagai sumber yang turut mengalami konflik dengan satu sama lain di rantau berlainan.
Selain daripada mendapat senjata dari Perancis – termasuklah meriam gerak sendiri howitzer Caesar – dan bantuan ketenteraan dari AS, Iran International melaporkan pada bulan Julai bahawa Tehran dan Yerevan telah menandatangani penjualan senjata yang agak signifikan bernilai $500 juta.
Tambahan pula, sebagai ahli CSTO, Armenia juga telah meneruskan pemerolehan alat senjata serangan dari Rusia.
Adakah Azerbaijan akan melancarkan serangan dahulu?
Dengan Armenia giat memperolehi senjata provokatif, Azerbaijan berkemungkinan akan mengambil tindakan pencegahan.
James Warlick, bekas pengerusi bersama OSCE Minsk Group, menyatakan bahawa pemerolehan senjata dari Perancis oleh Armenia telah menegangkan hubungan di antara Armenia dan Azerbaijan, lebih-lebih lagi kini kedua-dua pihak berada diambang perjanjian perdamaian.
Pada pendapat beliau, sebarang urusan penjualan senjata di antara Perancis dan Armenia haruslah dilakukan hanya selepas perjanjian perdamaian ditandatangani.
Peperangan pencegahan atau preemptive war adalah konsep yang diputarbelit semasa ia diperkenalkan dalam dasar keselamatan negara AS sewaktu pentadbiran Bush sebelum pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan, dan ia berlainan dari peperangan pengawalan atau preventive war.
Perbezaan utama terletak dalam masa: Peperangan pencegahan berkenaan dengan ancaman yang akan berlaku, manakala peperangan pengawalan adalah berkenaan ancaman jangka masa lama yang mempunyai potensi akan berlaku. Perbezaan ini adalah mustahak kerana masih ramai yang mencampur adukkan kedua-duanya.
Peperangan pencegahan dilihat sebagai perang yang wajar berdasarkan bukti yang kukuh berkenaan ancaman serta merta dan ia dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa, khususnya Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau lebih dikenali sebagai UN Charter.
Peperangan pengawalan pula adalah perang pilihan yang dilancarkan berdasarkan kiraan strategik dan bukan berdasarkan dari pendirian undang-undang. Sarjana kontemporari kerap menyamakan ia dengan serangan agresif yang tidak didukung oleh undang-undang antarabangsa.
Berdasarkan langkah Armenia yang giat mempersenjatai dan memperkuatkan ketenteraan mereka tanpa perjanjian perdamaian, sebarang langkah ketenteraan dari Azerbaijan adalah pencegahan dan bukannya pengawalan.
Ini turut disokong dengan penjajahan Armenia yang pernah berlaku selama 30 tahun ke atas kawasan Azerbaijan yang sah diiktiraf antarabangsa. Penjajahan tersebut telah tamat selepas kekalahan Armenia dalam peperangan 2020, dan bukannya dengan pengunduran secara sukarela oleh Armenia.
Sepertimana yang dinyatakan oleh undang-undang antarabangsa, Perang Karabakh yang Ke-Dua adalah langkah mempertahankan diri sejajar dengan Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selepas peperangan 2020, Presiden Aliyev telah beberapa kali memberi amaran bahawa sebarang ancaman dari Armenia akan dibalas dengan langkah untuk melenyapkan mereka di mana sahaja mereka berada dalam wilayah Armenia.
Tetapi, beliau juga menekankan bahawa Azerbaijan tidak mempunyai niat untuk mencerobohi Armenia dan memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku perang yang ke-tiga.
Bab baharu
Serangan pencegahan terhadap sasaran tentera yang sah berkemungkinan akan membuka bab baru dalam konflik berpanjangan di antara Azerbaijan dna Armenia.
Sebelum ini, semua operasi ketenteraan berlaku dalam wilayah Azerbaijan yang diiktiraf antarabangsa, termasuklah dengan segala kerakusan dan tragedi.
Namun, konfrontasi yang akan datang mungkin akan berlaku dalam wilayah Armenia. Pada peperangan 2020, tentera Azerbaijan dengan sengaja mengelak dari memasuki wilayah Armenia dan mereka menghadkan operasi mereka hanya di dalam wilayah Azerbaijan.
Tambahan pula, mereka mengelak dari memasuki kawasan Karabakh di mana terdapat populasi Armenia yang besar dan merelakan tentera keamanan dari Rusia untuk melindungi orang awam.
Walaupun Azerbaijan mempunyai kapasiti ketenteraan yang cukup untuk mara ke hadapan, Azerbaijan memilih untuk mengelak kawasan-kawasan tersebut demi mengelak kecelakaan orang awam.
Pada peperangan 2020, operasi Azerbaijan hanyalah ditumpukan kepada kawasan di mana pernah terdapat majoriti penduduk Azerbaijan mengikut fakta sejarah.
Satu-satunya serangan di dalam wilayah Armenia adalah terhadap sasaran tentera yang jauh dari orang awam. Pada 14 Oktober, 2020, Azerbaijan telah menghapuskan sistem peluru misil yang digunakan untuk menyerang orang awam Azerbaijan.
Serangan yang dilancarkan oleh Azerbaijan adalah satu pencegahan kerana sistem peluru misil tersebut pernah melancarkan beberapa serangan terhadap bandar-bandar yang jauh dari kawasan konflik seperti Ganja, Barda, dan Qarayusufli di mana ramai orang awam terkorban dan sistem tersebut bersiap-sedia melancarkan serangan baharu sebelum dimusnahkan.
Serangan-serangan tersebut termasuklah pengunaan bom tandan yang dilarang oleh undang-undang dan misil SCUD-B.
Human Rights Watch telah mengesahkan bahawa tentera Armenia telah melancarkan serangan sembarangan terhadap orang awam Azerbaijan semasa konflik berlaku.
Mengharapkan jaminan keselamatan CSTO, Armenia percaya bahawa serangan mereka terhadap kawasan penduduk yang jauh dari zon konflik tidak akan dikenakan hukuman berdasarkan anggapan mereka bahawa Azerbaijan tidak mampu menyerang balas atau apa-apa tindakan dari Azerbaijan hanya akan membuat Rusia murka kerana menyerang rakan sekutunya.
Kini, dengan proses mempersenjatai dan ketenteraan mereka, Armenia nampaknya tengah giat mendapatkan sokongan dunia barat, dan ini berpotensi untuk membangkitkan provokasi dan konfrontasi di antara Azerbaijan dan dunia barat.
Selepas Perang Karabakh Ke-Dua, satu-satunya serangan pencegahan yang diambil oleh Azerbaijan dalam wilayah Armenia adalah pada 12 September, 2022.
Tentera Azerbaijan menghapuskan infrastruktur tentera Armenia yang berada di dalam kawasan Armenia tanpa sebarang korban jiwa orang awam. Serangan tersebut menelan kos lebih dari $1 billion dan ia menggunakan senjata berpemandu ketetapan atau precision-guided weapons.
Pada waktu itu, infrastruktur tersebut memberi ancaman terhadap kawasan Kalbajar dan Lachin milik Azerbaijan yang baru dibebaskan.
Azerbaijan mempunyai dua kebimbangan: Proses ketenteraan Armenia dengan sokongan Perancis, India, Iran dan AS, serta kebangkitan sentimen revancisme di Armenia.
Pegawai-pegawai Azerbaijan dan pihak media lantang bersuara memberi amaran kepada Armenia dan penyokong-penyokong Armenia dari dunia luar.
Disebabkan oleh rasa tidak percaya oleh kedua-dua pihak, Azerbaijan telah membuat dua tuntuan untuk menjamin bahawa Armenia tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi berkenaan dengan Karabakh: Pertama, Armenia harus buang klausa pengilhakan daripada Pelembagaan mereka. Kedua, kedua-dua negara harus membuat permohonan bersama mengenai pembubaran Kumpulan Minsk.
Azerbaijan mempunyai rasa tidak percaya bukan sahaja terhadap Armenia, tetapi juga terhadap dunia barat.
Sebelum bermulanya perang 2020 sudah telah wujud kepercayaan berkenaan kemunafikan liberal barat berkenaan konflik Karabakh di Azerbaijan.
Sentimen ini makin meningkat dengan proses ketenteraan Armenia serta sokongan yang diterima oleh Armenia dari negara-negara luar seperti Perancis dan AS.
Mengutuk dan memberi amaran kepada Azerbaijan itu satu hal, mempersenjatai dengan secara aktif sebuah negara yang telah menjajah wilayah Azerbaijan pula adalah satu hal yang berlainan – langkah ini tidak akan membuahkan hasil dalam membentuk kedamaian dan kepercayaan di rantau ini.
Jika dunia barat benar-benar ikhlas untuk mempertahankan Armenia dari “serangan khayalan” dari Azerbaijan, semestinya ada cara yang lebih efektif dari membekalkan senjata.
SUMBER: TRT World
Fuad Chigarov
Fuad Chigarov adalah Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kaukasus Selatan di Baku. Sebelum ini, beliau pernah menjadi Ketua Jabatan Keselamatan Rantauan di Pusat Analisis Hubungan Antarabangsa (CAIR).