Bagaimana Türkiye tewaskan China dan Amerika Syarikat untuk menjadi ketua dron
Bagaimana Türkiye tewaskan China dan Amerika Syarikat untuk menjadi ketua dron
Menghadapi sekatan dari rakan sekutunya, Türkiye telah membangunkan teknologi sendiri dan kini mengetuai dron bersenjata.
21 Januari 2025

Esra Karataş Alpay

Perubahan yang dramatic dalam pasaran dron tentera global telah membenarkan Türkiye pecut ke depan sebagai pembekal terbesar dunia untuk kenderaan udara tanpa pemandu atau UAVs dan dron bersenjata, menurut laporan terkini dari Center for a New American Security (CNAS), Amerika Syarikat (AS).

Kemunculan Türkiye telah memakzulkan AS dan Israel dari tangga teratas dan ini melambangkan era baru dalam percambahan dron.

Menurut laporan CNAS yang diterbitkan awal bulan ini, sejak 2018, Türkiye, China, dan AS secara kolektif telah membuat 69 jualan dron bersenjata kepada 40 negara.

Türkiye sahaja menyumbang 65 peratus jualan tersebut, manakala China menyumbang 26 peratus dan AS hanya 8 peratus.

Menurut pakar, dron Türkiye telah mengetuai pasaran disebabkan oleh focus Ankara untuk meningkatkan industri pertahanannya.

“Kebolehan Türkiye membangunkan UAV yang canggih adalah disebabkan usaha sektor pertahanan dalam mengatasi kesukaran dalam memperolehi teknologi luar, khususnya pada saat kritikal apabila rakan sekutu seperti AS dan Israel telah meletakkan sekatan atau tidak mahu menjual,” kata Murat Aslan, profesor madya sains politik di Universiti Hasan Kalyoncu.

Semasa UAV pertama kali diperkenalkan mereka menggunakan sistem yang agak mudah dan digunakan selalunya untuk perisikan, pengawasan, dan bantuan kebakaran, kata Murat Aslan.

“Dengan peredaran masa, UAV telah berubah kepada sejenis platform sofistikated yang mempunyai kemampuan untuk mengangkut muatan berat, dan ini telah memperluaskan peranan UAV dalam peperangan moden secara signifikan.”

Penguasaan Türkiye dalam pasaran dron global disebabkan oleh kejayaan syarikat-syarikat pertahanan, termasuklah Baykar, Roketsan, dan Aselsan yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dron tentera negara itu.

Bayraktar TB2 dari Baykar telah menjadi symbol Türkiye  dalam kepakaran dron, sepertimana boleh dilihat dalam pengunaannya yang berleluasa di dalam konflik perang Karabakh di antara Azerbaijan dan Armenia.

Selain daripada TB2, dron Akinci dari Baykar adalah UAV altitud tinggi yang jauh lebih canggih dan ia telah melonjakkan status Türkiye sebagai pembuat dron canggih yang termashyur di pasaran dron dunia.

Perjalanan yang berliku-liku

Kebangkitan Türkiye ke tangga teratas penuh dengan liku-liku kerana negara itu terpaksa menghadapi  cabaran untuk mendapatkan komponen-komponen sehinggalah ia membuat keputusan untuk membuat mesin sendiri.

Cabaran yang dihadapi Türkiye bermula pada peringkat awal pembangunan UAV, kata Aslan.

“Pada tahun 90-an, semasa Türkiye mahu membeli UAV luar negara seperti Heron dari Israel, telah terdapat sekatan operasi yang sangat teruk, termasuklah memerlukan penjawat Israel untuk mengendalikan dan bukannya orang Turki sendiri.”

Pergantungan ini serta kelewatan dalam memperolehi maklumat risikan dalam masa nyata daripada dron asing menyebabkan Türkiye untuk membina program UAV sendiri, kata Aslan.

Roketsan dan Aselsan, pemain utama dalam sektor pertahanan Türkiye juga telah menyumbang kepada kebangkitan negara mereka.

Roketsan adalah pakar dalam sistem peluru midil dan integrasi senjata untuk dron, manakala Aselsan adalah pakar dalam avionik, komunikasi, dan sistem peperangan elektronik yang mempertingkatkan kebolehan UAV. Gabungan Roketsan, Aselsan, dan Baykar telah meletakkan Türkiye di tangga nombor satu dalam pembuatan sistem dron berteknologi tinggi untuk kegunaan tentera.

Pada tahun 2022, enam negara memasuki pasaran dron untuk julung kalinya dan mereka mengambil keputusan untuk memperolehi Bayraktar TB2 dari Baykar, dan ini menguatkan lagi kekuasaan Türkiye.

Dron generasi baru, Akinci, yang mempunyai kapasiti mengangkut muatan berat dan penderia canggih, juga meraih perhatian dunia, dan ini memperkuatkan lagi pengaruh Türkiye dalam teknologi tentera.

“Keperluan UAV Türkiye sebelum ini dipenuhi dengan pembekal dari luar. Tetapi disebabkan oleh keputusan dari kerajaan Türkiye pada awal tahun 2000, industri pertahanan telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menambah pembuatan domestik,” kata pegawai kanan Baykar.

“Ini membenarkan pembangunan dron kecil, dron taktikal, dron penyerang, dan sistem serbuan yang kini digunakan oleh Angkatan Tentera Türkiye dan penguatkuasa undang-undang.”

Membuat sendiri

Langkah penting dalam pembuatan dron Türkiye adalah membina teknikal dan kapasiti pengeluaran yang domestik.

Türkiye berjaya menembusi cabaran bekalan kritikal dengan mempelbagaikan atau membuat komponen secara domestik, kata Aslan.

“Walaupun terpaksa berdepan dengan embargo untuk beberapa komponen utama, Türkiye telah berjaya mencipta kesan pengganda dalam pengeluaran, lebih-lebih lagi selepas menyedari bahawa bergantung kepada sistem asing tidak lagi memberi jaminan keselamatan negara.”

Pembangunan UAV seperti ANKA dengan rekabentuk dan keupayaan yang unik telah melakarkan kejayaan yang ketara untuk industri pertahanan Türkiye, ujar ahli-ahli pakar.

Sejak melepasi Cina pada tahun 2021, eksport dron Türkiye telah melambung. Baykar telah mengeksport sebanyak 83 peratus pengeluaran mereka sejak awal tahun 2000 dan mencatit sebanyak $1.8 bilion eksport pada tahun 2022.

Kajian CNAS menunjuk bahawa era dominasi AS dan Israel dalam pasaran dron telah lama tamat dan kini diambil alih oleh alternatif dari Türkiye, China, dan Iran yang lebih mesra kos.

Trend ini telah menaikkan kuantiti pemindahan dron bersenjata global dengan Türkiye mendahului semua.

Türkiye kini pembuat nombor satu dron yang dikuasai oleh Baykar, Roketsan, dan Aselsan. Kebangkitan Türkiye mencerminkan perubahan yang lebih besar dalam kuasa ketenteraan. UAV yang berpatutan dan canggih seperti Bayraktar TB2 dan Akinci telah membentuk semula peperangan moden dan Türkiye kini adalah pemain utama dalam sektor pertahanan yang kritial ini.

Aslan dari Universiti Hasan Kalyoncu berkata bahawa pembuatan UAV bersenjata bukan berkenaan dengan platform sahaja, tetapi juga melibatkan peluru dan sistem kawalan.

“Roketsan memainkan peranan yang penting dengan membangunkan peluru canggih, manakala Aselsan menyediakan bantuan elektrikal dan elektronik, dan Havelsan menyumbang perisian asasi.”

“Syarikat-syarikat pertahanan awam tersebut telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk UAV, tetapi tanpa pembuatan peluru domestik, Türkiye mungkin masih lagi perlu berharap kepada pembekal dari luar.”

SUMBER: TRT World

Esra Kartaş Alpay adalah penulis staf di TRT World


Intai TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us