Pencemaran udara di ibu kota Thailand memaksa lebih 350 sekolah ditutup, menurut pihak berkuasa, di mana Bangkok disenaraikan sebagai bandar ketujuh paling tercemar di dunia oleh pemantau kualiti udara, IQAir.
Pencemaran udara bermusim kerap terjadi di Thailand, seperti negara lain di rantau ini, tetapi keadaan berjerebu ini telah menyebabkan jumlah penutupan sekolah tertinggi sejak 2020.
“Pentadbiran Metropolitan Bangkok telah menutup 352 sekolah di 31 daerah akibat pencemaran udara,” kata pihak berkuasa dalam mesej yang dikongsi melalui kumpulan rasmi LINE.
Sehari sebelum, lebih 250 sekolah di Bangkok ditutup disebabkan jerebu, di mana pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah dan menyekat perjalanan kenderaan berat menuju ke bandar itu.
Tahap pencemaran mencapai bacaan PM2.5, iaitu situasi di mana zarah mikropartikel yang menyebabkan kanser boleh memasuki aliran darah melalui paru-paru, dan ia telah mencapai 108 mikrogram per meter padu, menurut IQAir.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pendedahan purata 24 jam tidak melebihi 15 mikrogram untuk kebanyakan hari dalam setahun.
Pihak berkuasa Bangkok berkata sekolah di kawasan dengan tahap bacaan PM2.5 mempunyai pilihan untuk menutup sekolah.
Daripada keseluruhan 437 sekolah di bawah seliaan Pentadbiran Metropolitan Bangkok, 352 terpaksa ditutup, sekaligus menjejaskan ribuan pelajar.
Angka ini merupakan yang tertinggi sejak tahun 2020 di mana sekolah di bawah seliaan pihak berkuasa bandaraya menutupnya disebabkan jerebu.
Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul mengeluarkan perintah larangan pembakaran sisa tanaman — pembakaran sisa tanaman secara sengaja untuk membersihkan ladang — di mana mereka yang bertanggungjawab berisiko menghadapi tindakan undang-undang.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, yang pada ketika itu menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Switzerland, menggesa langkah yang lebih tegas untuk menangani pencemaran udara, termasuk menghadkan aktiviti pembinaan di ibu kota itu selain meminta kerjasama negara-negara jiran.
Bandar besar di negara jiran seperti Vietnam dan Kemboja turut berada dalam senarai 10 bandar utama global paling tercemar oleh IQAir, dengan Bandar Ho Chi Minh menduduki tempat kedua dan Phnom Penh kelima.
Jurucakap Kementerian Alam Sekitar Kemboja, Khvay Atitya, berkata kualiti udara di negara itu berada pada tahap selamat.
“Negara lain mempunyai standard mereka sendiri. Kemboja mempunyai standard kami sendiri untuk menentukan kualiti udara,” katanya kepada pemberita, sambil menambah bahawa pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang langkah kecemasan.